Jumaat, 10 Disember 2010

TV AlHijrah


Stesen televisyen berkonsep keislaman, AlHijrah, yang memulakan siaran pada 1 November lalu akan memperluaskan lagi siarannya pada 7 Disember ini apabila ia dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada sidang media mengenai pengumuman pelancaran stesen berkenaan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut memaklumkan pengurusan stesen berkenaan kini dalam perbincangan dengan Astro untuk membolehkan AlHijrah turut disenaraikan dalam perkhidmatannya.

Katanya, jika perbincangan itu berjalan lancar, pelanggan Astro boleh menikmati program siaran saluran AlHijrah pada selewat-lewatnya tahun depan. Bagaimanapun, AlHijrah sedang memohon supaya disegerakan proses berkenaan berikutan permintaan tinggi daripada penonton.

“Kami menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai yang ternanti-nantikan saluran AlHijrah di Astro. Kami memang sedang memohon daripada pihak terbabit supaya perkhidmatan itu disegerakan, memandangkan Astro berkata ia hanya akan dimulakan tahun depan,” katanya.

Stesen yang dilancarkan pada 1 November lalu dengan kos permulaan sebanyak RM30 juta akan dilancarkan secara rasmi oleh Najib di Pusat Penyiaran Digital TV Alhijrah, jam 8 malam. Tarikh berkenaan dipilih bersempena dengan sambutan Maal Hijrah yang mempunyai kaitan dengan nama saluran itu sendiri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV berkenaan, Bukhari Che Muda, menangkis tanggapan stesen itu meniru konsep sebuah lagi saluran keislaman, Oasis, yang terlebih dulu menemui penonton tanah air.
Beliau sebaliknya berkata, AlHijrah mempunyai konsepnya yang tersendiri, di samping menawarkan kepelbagaian kepada penontonnya.

“Kami tidak melihat AlHijrah mempunyai persamaan dengan mana-mana stesen yang ada sekarang termasuklah stesen milik Astro. AlHijrah mempunyai konsepnya yang tersendiri kerana kami mengemukakan program berbentuk Islam sepenuhnya.

“Kandungan yang ditawarkan juga jelas sekali berbeza, tidak terhad kepada ceramah, kapsul, azan ataupun zikir semata-mata. Sebaliknya konsep Islam diterapkan kepada pelbagai jenis program yang kami tawarkan, termasuklah program masakan dan tidak ketinggalan animasi," katanya.

Menurut Bukhari, animasi ialah segmen penting yang perlu ada pada setiap stesen televisyen. Cuma bezanya, animasi yang diketengahkan oleh AlHijrah berkonsep keislaman. Antara animasi yang akan diperkenalkan pula berjudul Pada Suatu Masa terbitan Les Copaque. Selain itu mereka juga akan membeli beberapa animasi daripada negara Arab.

“Tidak ketinggalan juga program hiburan berkonsepkan keislaman, yang akan turut diperkenalkan di stesen kami,” kata Bukhari.

Beberapa program terbitan dalaman yang akan diperkenalkan bermula bulan ini dibahagikan kepada beberapa kategori. Rancangan berbentuk majalah akan mengetengahkan program Majalah Islam yang memaparkan kisah mengenai masyarakat Islam, alam persekitaran, lokasi dan isu semasa dari perspektif Islam.

Nota Al Zahra pula akan menonjolkan topik kewanitaan sama ada secara perseorangan atau kumpulan yang memperkatakan mengenai kejayaan serta kepakaran yang dikuasai golongan wanita.

Menu Alam pula akan membawa penonton ke seluruh pelusuk negara, dalam mencari masakan Melayu. Rancangan ini akan menyajikan banyak hidangan masyarakat Melayu, di samping menyingkap destinasi tarikan pelancong.

Manakala Ejen Halal ialah sebuah program kerjasama dengan bahagian halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan memberi informasi kepada penonton mengenai produk halal serta syarat untuk mendapatkan sijil pengesahan daripada pihak berkuasa.

AlHijrah juga akan memaparkan rancangan berbentuk bual bicara seperti Bicara dan Assalamualaikum. Tidak ketinggalan, penonton akan disajikan dengan berita semasa menerusi Berita AlHijrah.

- BERITA HARIAN
Related Posts with Thumbnails