Jumaat, 10 Disember 2010
Rupa Paras Ibu Cantik Sandaran Kepada Pembeli Bayi
HMetro | “Jika rupa paras si ibu cantik, pasti ramai datang ke rumah ini untuk mengambil bayinya sebagai anak angkat,” kata isteri pengasas Rumah Kebajikan Wanita dan Remaja (Kewaja), Ruzitah Baharum, 42.
Beliau berkata, melalui pengalamannya, kebanyakan pasangan suami isteri yang datang ke rumah itu untuk mengambil anak angkat akan memilih dan menempah terlebih dulu anak dalam kandungan selepas melihat rupa paras si ibu.
“Bagaimanapun, kami tidak membenarkan cara itu (tempahan) kerana sini bukan tempat untuk membeli bayi, sebaliknya rumah amal untuk menjaga kebajikan ibu serta bayi yang baru dilahirkan,” katanya ketika ditemui di pusat itu, semalam.
Kewaja memberi perlindungan kepada gadis dan wanita bermasalah, terutama mereka yang menghadapi masalah serius akibat pergaulan terlampau atau terjebak dalam aktiviti tidak bermoral sehingga hamil di luar nikah. Penghuninya akan dilindungi, dibimbing dan dipulih sebelum kembali ke pangkuan keluarga.
Mengenai kes Suzie yang dilaporkan Harian Metro semalam, Ruzitah berkata, setakat ini dia menerima lima khidmat pesanan ringkas (SMS) bertanyakan bayi dikandung gadis berkenaan.
Katanya, Suzie sudah mula menyesuaikan diri dengan pusat itu dan menjalani proses mendalami Islam dan sudah mahu bersolat.
Dua wartawan Harian Metro berjaya memujuk Suzie, 22, supaya tidak menjual bayi dikandungnya kepada satu pasangan bukan Islam, sebaliknya dihantar ke Kewaja.
Pelayan pelanggan (GRO) itu nekad mahu menjual bayinya kerana mendakwa tidak mampu menjaganya sebaik lahir kelak.
Dalam pada itu, Ruzitah berkata, hampir 500 pasangan dalam senarai menunggu untuk mengambil anak angkat dari rumah berkenaan dan jumlah itu meningkat dari semasa ke semasa.
“Kami memberi keutamaan kepada pasangan yang berkahwin lima hingga enam tahun tapi masih tidak mempunyai zuriat,” katanya yang dipanggil mama di kalangan penghuni.
Pihaknya juga, katanya, tidak menggalakkan individu yang belum berkahwin untuk memohon kerana memikirkan nasib kebanyakan bayi terbabit dilahirkan tanpa bapa, jadi biarlah mereka dijaga keluarga yang dapat memberi didikan agama yang sempurna.
Menurutnya, kini terdapat 50 wanita berusia lingkungan 20-an menunggu masa di rumah itu untuk melahirkan anak masing-masing.
“Sebaik bayi dilahirkan di klinik panel terpilih, anak itu bersama ibunya akan dijaga sehingga habis tempoh berpantang. Jika si ibu mahu menjaga sendiri bayinya, kami akan meminta pihak keluarga mengambil mereka.
“Bagi yang tidak mahu menjaga bayinya pula, kami akan mengurus urusan berkaitan pengambilan anak angkat mengikut prosedur yang ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Ruzitah berkata, pihaknya juga akan menyaring setiap pasangan yang mahu mengambil anak angkat dari rumah itu bagi mengelak kejadian yang tidak diingini pada masa depan.
“Sejak Kewaja ditubuhkan 20 tahun lalu, sudah lebih 3,000 bayi dilahirkan di sini diserahkan kepada keluarga angkat,” katanya.
Labels:
Kenyataan Akhbar