| Parti Islam Semalaysia Pas bimbang suasana politik negara pada hari ini yang semakin panas. Keadaan ini berlaku selepas PRU 2008, apabila BN tidak tahu menghormati keputusan rakyat dalam sebuah negara demokrasi. Kes yang terbaru lakonan rasa tidak puas hati Presiden MCA Datuk Sri Dr Chua Soi Lek mengenai kouta 30% dalam ekuiti bumiputera. Datuk Chua telah mengambil pendirian yang berani untuk menyokong kongres China yang mencadangkan kerajaan menghapuskan kouta 30%.
Kenyataan beliau telah menimbulkan kemarahan secara terbuka oleh Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Timbalan Presiden Umno. Pendirian beliau dipanaskan lagi dengan sokongan beberapa pemimpin umno dan NGO Melayu. Beberapa kenyataan amaran dan memperlekeh satu sama lain sedang bermain di dada akhbar.
Pas bimbang corak yang sama berlaku pada tahun 1987, ketika umno mengalami perpecahan team A dan team B, sehingga umno diharamkan oleh mahkamah. Tiba-tiba Lee Kim Sai Timbalan Presiden MCA telah mangatakan bahawa orang Melayu juga kaum pendatang dan hak keistimewaan bumiputera juga dipertikaikan. Pada ketika itu pemimpin umno yang berlagak macam hero kampung dusun berhimpun untuk membantah kenyataan Lee Kim Sai. Ada di kalangan pimpinan umno suruh bawa pisau senang hendak kupas limau jika hadir di perhimpunan di stadium TPCA Kampung Baru. Akhirnya himpunan tersebut telah dibatalkan oleh pihak keselamatan..
Kemudian operasi lalang berlaku, Lee Kim Sai ke Australia, sebaliknya yang menjadi mangsa ialah pemimpin Pas, Dap dan NGO yang disumbat di Kamunting. Ada beberapa pemimpin umno ditangkap juga, sekadar untuk main wayang kemudian dibebaskan.
Pas mengharapkan pihak kerajaan dan keselamatan jangan mengkambing hitamkan pembangkang, kerana hendak melindungi masalah dalaman parti komponen Bn. Jangan gunakan ISA dan operasi lalang, bertarunglah dalam gelanggang demokrasi di atas padang yang sama rata serta pengadil dan tiang gol yang tidak diubah-ubah. Pemimpin umno kena insaf mereka sekarang bukan sahaja tidak disukai oleh orang bukan melayu malahan juga telah ditolak oleh orang melayu, terutama generasi terpelajar dan bermaklumat. -idris ahmad
Ulasan GB
Sudah ada pemimpin PAS yang takutkan operasi lalang. Maklum sekarang sudah pandai hidup bermewahan. Sudah tebal keduniaan. Takut kehilangan jawatan, kereta, rumah besar, talileher, blazer, isteri dan anak-anak.
Tak seperti dulu, jiwa dan raga diserahkan untuk perjuangan kerana takutkan Allah melebihi segala-galanya.
Kita memang menentang ISA, menentang kezaliman, menentang Operasi Lalang malah kita menentang mereka yang mendokong kezaliman itu.
Jika kita takut dengan mereka atau lebih rendah lagi, takut dengan Operais Lalang yang belum tentu ada, ini alamat dan petanda buruk untuk jemaah, untuk parti. Percayalah!