Khamis, 19 Ogos 2010

DJ popular 98.8 FM diarah bercuti


DJ popular Melayu di saluran radio Cina di 98.8 FM, Jamaluddin Ibrahim telah diarahkan bercuti selepas menerima sepucuk surat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Dikenali sebagai Jamal kepada para pendengarnya semasa menguruskan program pagi sebagai hos ‘Say Hi to Malaysia’ di dalam bahasa Cina itu ke udara pada setiap Isnin sehingga Jumaat.

Jamal memaklumkan bahawa pihak pengurusannya menerima arahan tersebut dan mengarahkannya mengambil cuti sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.

Pihak pengurusan radio berkenaan menerima surat dari SKMM yang mendakwa menerima laporan daripada pendengarnya mengenai program tersebut. Beliau yang fasih berbahasa Cina itu memberi komen-komen sepanjang di udara didakwa SKMM sebagai masalah kepada masalah keselamatan negara terutamanya berkaitan perhubungan kaum yang tidak boleh diterima.

Namun begitu, pihak SKMM tidak memberitahu dengan jelas apa yang dimaksudkan dengan keselamatan negara itu dan gagal menerangkan dengan baik pertuduhan mereka terhadap dirinya.

Jamal disuruh hadir ke pejabat SKMM di Siberjaya esok pagi.

Ramai peminatnya naik marah dan kesal dengan tindakan kerajaan melalui SKMM dengan memaksa beliau berundur. Mereka geram kerana SKMM yang terletak di bawah Menteri Penerangan dan Komunikasi, Tan Sri Rais Yatim gagal menjelaskan dengan baik perkara ini. Bagi mereka jika benar, Jamal perlu dihadapkan ke mahkamah bagi mempertahankan dirinya di dalam negara demokrasi ini.

Saluran 98.8 FM ini adalah salah satu daripada tiga stesen radio yang dimiliki oleh Star Publications (M) Bhd yang dikuasai oleh MCA.

Jamal yang dilahirkan di Beijing, China merupakan anak kepada dua pemimpin kanan Melayu Parti Komunis Malaya (PKM), Shamsiah Fakeh dan Ibrahim Mohamad telah tinggal di China untuk sekian lamanya sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia pada pertengahan tahun 1990an.

Sehingga kini, pihak berkuasa SKMM dan pihak pengurusan radio berkenaan masih belum dapat dihubungi pihak media untuk laporan lanjut.-KLToday.com

Related Posts with Thumbnails