Jumaat, 20 Ogos 2010
Nik Aziz Kesal Umno Bangkang Semua Cadangan Kelantan
Sinar Harian | KOTA BHARU – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kesal dengan sikap pemimpin UMNO yang dilihat memberi bangkangan terhadap apa sahaja cadangan baik yang datang dari negeri itu.
Beliau yang juga Mursyidul Am Pas berkata, apa saja yang datang dari Kelantan ramai pemimpin UMNO cuba ‘menunjuk cerdik’ dengan pelbagai komen.
“Kalaupun nampak janggal, tiadalah mereka peduli asalkan nampak hebat di mata pandangan gerombolan mereka. Seingat saya, sepanjang dua dekad usia kerajaan Pas di Kelantan bermula tahun 1990 ini, itulah yang sentiasa kami hadapi.
“Cuti dua hari seminggu digelar sebagai ‘budaya pemalas’. Akhirnya orang yang sama menelan kembali ludahnya. Cuti 60 hari kakitangan wanita yang bersalin turut dipandang sinis, kemudiannya tanpa segan silu ditiru,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata, tindakan sama turut diambil Kerajaan Pusat terhadap pemerkasaan perbankan Islam yang turut bermula dengan langkah Kerajaan Kelantan memindahkan wang kerajaan dari bank riba ke perbankan Islam.
“Itu belum termasuk program kebajikan seperti Skim Takaful Kifalah, Skim Armalah, Ladang Rakyat dan panjang lagi senarainya.
“Sekarang apabila kerajaan Kelantan melancarkan mata wang syariah dinar (emas) dan dirham (perak) pada 12 Ogos lalu, maka bersatulah pemimpin UMNO untuk menghentam langkah ini. Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan damai dan pesta ibadat menjadi pesta menghentam Kerajaan Kelantan,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya kerajaan pimpinan Barisan Nasional enggan memulakan sesuatu, jangan pula menidakkan usaha pihak lain.
“Saya ulangi penegasan yang dibuat sebelum ini oleh ahli Exco saya, Datuk Husam Musa bahawa apa yang dilancarkan Kelantan bukanlah mata wang, ia hanyalah pengenalan kepada sistem ‘barter trade’.
“Tukar suka sama suka dengan kerelaan tidak pernah dihalang di negara demokrasi ini. Setiap orang berkuasa ke atas barangannya dan berhak membuat keputusan.
“Apa yang salah ialah membuat keputusan ke atas barangan yang kita tidak berhak. Contohnya, memberi percuma dua blok minyak milik rakyat yang berharga ratusan bilion ringgit kepada kuasa asing atau merompak hak milik rakyat Kelantan ke atas telaga minyak dengan menafikan royalti,” katanya.
Beliau tertarik apabila seorang Timbalan Menteri baru-baru ini, heboh meluluskan lesen judi tiba-tiba mengeluarkan kenyataan bahawa ‘Dinar Emas dan Perak Dirham’ ini boleh menyebabkan kerugian.
Labels:
Kenyataan Akhbar