Ahad, 15 Ogos 2010

Ramai Peniaga Bazar Tsunami Jasin Serik Tak Nak Meniaga


KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam melawat salah seorang mangsa ribut Bazar Ramadan di pekarangan Stadium Jasin yang menerima rawatan di Hospital Jasin, Melaka, semalam. - bernama

JASIN 14 Ogos - Tiada siapa yang mahu berniaga di sini lagi. Itulah tekad 56 peniaga Bazar Ramadan Stadium Jasin yang trauma selepas melihat sendiri 'tsunami Jasin' mengganas sehingga mengorbankan dua rakan mereka dan seorang pengunjung dalam kejadian ribut petang semalam.

Mereka nekad berpindah ke tempat lain malah, ada yang hilang minat untuk berniaga gara-gara masih trauma dengan kejadian ribut yang pertama kali berlaku sepanjang lebih empat tahun berniaga di situ.

Tinjauan Mingguan Malaysia di tapak Bazar Ramadan itu hari ini mendapati, sebahagian besar peniaga sibuk mengemas peralatan perniagaan biarpun jelas kelihatan pada riak wajah mereka masih terkejut dengan insiden yang berlaku.

Ada peniaga yang ditemui mengakui sukar melupakan kejadian meragut tiga nyawa itu walaupun ribut berlaku kira-kira dua minit sahaja.

Sambil merenung persekitaran lenggang pekarangan Stadium Jasin, Mohd. Rafi Abdullah, 41, berkata, dia tidak dapat melupakan wajah mangsa yang terbunuh dalam kejadian ribut itu.

Katanya, wajah mangsa berlumuran darah selain seluruh tubuhnya disaluti bahan makanan.

"Saya sayang hendak tinggal tempat niaga ini kerana sudah tiga tahun berniaga nasi lemak bersama isteri di pekarangan Stadium Jasin ini.

"Sambutan orang ramai amat baik malah, mereka gemar berkunjung ke sini kerana kawasannya luas dan mudah untuk meletakkan kenderaan, namun saya merasakan tempat ini sudah tidak sesuai lagi untuk berniaga," katanya.

Selain itu, menurut Zamri Amran, 28, dalam suasana panik dan riuh-rendah dengan suara orang meminta pertolongan semalam, dia hanya memikirkan tentang keselamatan adik perempuannya yang membantu berniaga makanan di situ.

Kata Zamri, dia menarik adik perempuannya untuk bersama-sama memaut pada payung bagi mengelak mereka dipukul ribut.

"Saya lihat beberapa khemah di tapak bazar diterbangkan ribut yang tinggi berpusar kehitaman. Ia seolah-olah seperti payung terjun di udara.

"Ini merupakan tahun pertama kami adik-beradik berniaga di sini tetapi siapa menduga perkara seperti ini boleh berlaku malah, tempat ini belum pernah dilanda ribut," katanya.

Sementara itu, Mohd. Fairuz Abd. Karim, 38, nekad mahu meninggalkan tapak perniagaannya di situ kerana bimbang kejadian ribut yang melanda petang semalam berulang.

"Memang kemalangan boleh berlaku di mana-mana tetapi sebaik-baiknya jika sudah berlaku perkara buruk itu, lebih baik peniaga di sini pindah ke tempat lain," katanya

Related Posts with Thumbnails