Ahad, 15 Ogos 2010

Pelajar Hamil Boleh Hadir Ke Sekolah

KL Ogos15 10: Pelajar-pelajar yang hamil masih boleh mengikuti persekolahan di sekolah kerajaan seperti normal sebagaimana dilalui pelajar lain, malah mereka mempunyai segala hak untuk akses kepada sistem pendidikan.

Seorang pegawai Kementerian Pelajaran mengesahkan, pelajar hamil masih boleh ke sekolah kebangsaan sekali gus menolak persepsi bahawa mereka tidak boleh berbuat demikian atau dihalang. “Remaja yang hamil masih boleh ke sekolah,” kata pegawai itu.

Tiada peraturan yang menghalang pelajar perempuan daripada menghadiri sekolah seperti biasa jika mereka mengandung atau telah berkahwin, kata pegawai itu lagi. “Dalam peraturan kita, kami tidak mengatakan bahawa mereka tidak boleh hamil, tetapi mereka hanya tidak boleh ponteng,” katanya lagi.

Bagaimanapun bagi mereka yang ada rekod mengelak daripada datang ke sekolah selama 60 hari akan dibuang secara automatik, katanya. “Hakikatnya mereka boleh ke sekolah. Persepsi itu adalah silap. Itu hak mereka mendapatkan pendidikan,” katanya.

Isu itu menjadi perhatian ekoran keputusan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) membenarkan remaja lelaki termasuk pelajar, di bawah umur 18 tahun dan 16 tahun bagi pelajar perempuan di negeri ini untuk bernikah. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata keputusan itu diambil bertujuan mengurangkan kes kelahiran bayi luar nikah di negeri ini, sekali gus membendung kes zina, semakin menular kebelakangan ini.

Malah, sekolah khas untuk pelajar hamil yang dibiayai kerajaan Melaka akan dibuka di Jasin bulan depan. Beberapa kumpulan termasuk Puteri Umno telah melahirkan sokongan kepada idea itu dan mahu Putrajaya menubuhkan kemudahan yang sama di peringkat nasional.

Sehubungan itu, pegawai Kementerian Pendidikan menambah usaha diambil oleh Melaka tanpa melibatkan kementerian itu memandnagkan ia akan dianggap sebagai sekolah swasta. Malah menurutnya, langkah mengadakan sekolah sedemikian akan membazirkan sumber persekutuan memandangkan kerajaan tidak pernah menghalang sesiapa daripada mengikuti persekolahan atasa alasan mereka mengandung.

Bagaimanapun beberapa pertubuhan bukan kerajaan wanita dan ahli politik lain membidas keputusan kerajaan negeri Melaka yang “menggalakkan” ibu bapa memberi kebenaran kepada anak-anak mereka berkahwin awal walaupun masih bersekolah bagi mengekang gejala hamil luar nikah yang semakin berleluasa di negeri itu.

Sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Melaka di bekas bangunan rumah kadi daerah itu adalah untuk mereka yang secara sukarela mahu ke situ. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pernah berkata kebenaran berkahwin untuk pelajar di bawah umur bukan untuk semua tetapi ditentukan mengikut kesesuaian kes.

Beliau berkata berkata mahkamah syariah berhak meneliti setiap permohonan berkahwin awal yang diterimanya dan memutuskan sama ada keizinan layak diberi atau tidak.

Related Posts with Thumbnails