Khamis, 22 Julai 2010

Polis gagal geledah HQ PKR cari bukti dakwaan hasutan


3-tak harap balas Oleh Jamilah Kamarudin

PETALING JAYA: Ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini hampir ‘diserbu’ polis berikutan artikel Ahli Majlis Pimpinannya, Badrul Hisham Shaharin dalam blog yang didakwa mempunyai unsur hasutan.

Kira-kira 20 orang anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban 2 tiba di perkarangan pejabat PKR kira-kira 11.30 pagi tadi beserta waran geledah untuk mengambil barang bukti, iaitu komputer yang digunakan Badrul untuk menulis artikel terbabit.

Tindakan polis itu dipercayai ekoran kenyataan Badrul yang mengatakan beliau pernah menggunakan komputer milik ibu pejabat PKR bagi menghasilkan artikel berkaitan.

Pada pukul 12.27 tengahari, kira-kira 10 anggota polis mula berkumpul di depan pejabat PKR, sementara Ketua Polis IPD Seremban 2, Inspektor Affendi Sulaiman mengemukakan surat waran kepada Setiausaha Pengelola PKR Radin Shamsul Kamal.

Radin kemudiannya membenarkan Affendi naik ke pejabat PKR bagi mengadakan perbincangan dengan Pengarah Komunikasi PKR Johnson Chong.

Kira-kira 15 minit kemudian, Affendi dilihat keluar daripada premis bersama Johnson.

Waran geledah ‘rosak’

Johnson yang ditemui pemberita berkata, hasrat polis untuk menggeledah pejabat PKR hari ini dibatalkan apabila mendapati waran yang dikemukakan polis adalah ‘rosak’ dan ‘tidak boleh digunakan’.

Beliau berkata, walaupun waran yang dikemukakan itu tertulis peruntukan seksyen yang membenarkan majistret mengeluarkan surat waran, namun ia tidak menyatakan jenis dan akta kesalahan yang dilakukan oleh Badrul.

"Pihak polis datang berkaitan blog Badrul dengan waran geledah. Bagi saya waran ini rosak dan tidak boleh pakai sebab seksyen itu patut tulis apa kesalahan, tapi dia (waran) sebut perkara lain pula.

"Ini adalah kesilapan teknikal majistret. Kesalahan sepatutnya berada dibawah akta hasutan.

"Namun dalam waran tertulis seksyen yang memberi kuasa kepada majistret untuk keluarkan waran sahaja tanpa sebutkan jenis kesalahan.

"Lagipun kuasa (waran geledah) ini untuk membuat penggeledahan untuk mencari apa yang diterbit, tetapi apa yang diterbitkannya itu sudah ada dalam online.

"Maklumat semuanya ada dalam komputer riba milik Badrul," katanya.

Berikutan itu juga, Johnson berkata pihak polis kemudiannya bersetuju untuk membatalkan hasrat untuk menggeledah pejabat PKR dan akan mengadakan pertemuan semula dengan Badrul.

"Mereka setuju, mereka dah ambil maklumat saya dan Radin. Mereka selepas ni akan terus berurusan dengan Badrul dan tak akan datang lagi sebab komputer riba peribadi itu berada dengan beliau, bukan disini," katanya.

Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard pada 10 Julai lalu ditahan polis di Seremban ekoran artikel dalam blog yang didakwa menghasut dan menyentuh mengenai Yang di-Pertuan Agong dan juga institusi raja.

Rumahnya di Bukit Chedang juga digeledah polis tetapi tiada apa-apa barang diambil. Chegubard kemudiannya dibebaskan setelah dilaporkan memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis.

Badrul kini dipercayai berada di Seremban. Kes disiasat mengikut Akta Hasutan 1948.


Related Posts with Thumbnails