Khamis, 22 Julai 2010

Dewan Negara Hanya Tukang Lulus Rang Undang-undang

Oleh Faizal Ezzany

KUALA LUMPUR 21 Julai - Kegagalan menteri dan timbalan menteri hadir ke Dewan Negara untuk mengikuti perbahasan anggota Dewan Negara menunjukkan Umno-Barisan Nasional hanya menggunakan institusi itu sebagai pak turut untuk meluluskan Rang Undang-undang yang dibentang dan tidak lebih daripada itu.

Senator Dr Syed Husin Ali menjelaskan inilah sikap barisan kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak menghormati persidangan yang sedang berlangsung selain tidak memandang serius perbahasan berkaitan Rancangan Malaysia Ke-10 ini.

"Memang patut Yang Di Pertua Dewan Negara menegur barisan kepimpinan Najib, saya lihat dari pagi tadi ada segelintir sahaja Menteri dan Timbalan Menteri tetapi apabila selepas sahaja waktu rehat tidak ada seorang pun yang hadir.

"Ini jelas mereka semua hanya hadir bila Perdana Menteri mengikut persidangan dan ia tidak lain hanya ini menunjukkan komitmen yang mereka lakukan, apabila Najib tidak hadir maka semua barisan kabinetnya tidak hadir.

"Saya sudah lama mengganggap Dewan Senat ini umpama 'rubber stamp' kerajaan dan mereka tidak perlu hadir untuk mengikuti perbahasan, hanya perlu hadir untuk kelulusan sahaja. Tindakan ini merupakan sikap tidak tanggungjawab mereka sebagai seorang yang diberi tanggungjawab.

"Bagi saya Yang Di Pertua perlu tegas dalam hal sebegini jangan disebabkan mereka berada di bawah kepimpinan Najib maka kita takut hendak membuat teguran," jelasnya.

Timbalan Presiden KEADILAN itu juga menambah satu peraturan yang tegas perlu dikeluarkan oleh Dewan Negara ini bagi memastikan kehadiran setiap Menteri, Timbalan Menteri dan juga kakitangan kementerian perlu diwajibkan.

Justeru itu Yang DiPertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang menegur ketidak hadiran gagalan Menteri dan Timbalan Menteri untuk mengikuti sidang Dewan Negara serta menjawab soalan yang dikemukakan ahli Dewan.

"Saya mahu perkara ini direkodkan dalam aturan mesyuarat dan kepada Menteri mahupun Timbalan Menteri perlu hadir ketika perbahasan berlangsung, Kalau Menteri atau Timbalan tidak dapat hadir cubalah hantar kakitangan mereka. Kegagalan membuat demikian menyebabkan proses yang berlaku di Dewan ini tidak sempurna.

"Kita patut hormatkan Dewan ini dan apa yang kita buat untuk kesejahteraan negara ini bukan untuk kepentingan individu, kenapa tidak ada seorang pun wakil menteri dan juga timbalan," tegasnya ketika sesi perbahasan.
Related Posts with Thumbnails