Khamis, 12 Januari 2012

Bapa Mohd Saiful mohon Peguam Negara buat Rayuan


Azlan Mohd Lazim, bapa kepada Mohd Saiful Bukhari hari ini merayu kepada Peguam Negara agar memfailkan rayuan untuk mendapatkan pembelaan adil anaknya, menegaskan jangan terpengaruh oleh mana-mana pihak termasuk Majlis Peguam.


Pada sidang media di kediamannya di Bandar Utama di sini, Azlan, 58, turut melahirkan kekecewaan dengan kenyataan Majlis Peguam agar Peguam Negara tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat.

"Saya Azlan Mohd Lazim, bapa kepada Mohd Saiful Bukhari berasa amat kecewa dengan kenyataan Majlis Peguam yang menyarankan pihak Peguam Negara tidak mengemukakan rayuan keputusan kes anak saya yang diputuskan oleh mahkamah pada 9 Januari 2011.

"Pada pandangan saya, tindakan Majlis Peguam itu adalah dilihat sebagai langkah untuk menidakkan hak seseorang warganegara untuk diadili dan didengar rayuannya sehingga ke peringkat tertinggi menurut Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada pemberita.
Related Posts with Thumbnails