Selasa, 10 Januari 2012

Datuk Salim Parlan & Nur Diayana Norslan didenda RM3,000 Kerana berkhalwat


GEORGE TOWN – Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan dan bekas pembantu peribadinya, Nur Diayana Norslan dikenakan denda RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam setelah mengaku bersalah berkhalwat di sebuah hotel di Batu Feringghi di sini April tahun lalu.

Hakim Syarie, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh dan pasangannya yang berusia 30 tahun selepas mengambil kira pelbagai faktor.

Dalam penghakimannya, Nik Bukhari berkata, mahkamah berpuas hati dengan pengakuan secara sukarela yang dibuat kedua-dua tertuduh, namun perlu juga menitikberatkan masa dan kos yang dibazirkan sepanjang tempoh pertuduhan dijalankan.

“Kedua-dua tertuduh merupakan penjawat awam. Salim yang memegang jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam perlu menunjukkan teladan yang baik dan bukannya mencemar imej jabatan masing-masing.

“Sehubungan itu, mahkamah memutuskan untuk memberi hukuman setimpal yang boleh memberi pengajaran kepada masyarakat luar agar tidak melakukan perkara yang sama dengan masing-masing dikenakan hukuman denda RM3,000 atau lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda,” katanya.- Kosmo!
Related Posts with Thumbnails