Saya pada mulanya tidak ingin ikut sama dalam perbahasan mengenai laporan yang belum tentu benar dan betul mengenai isu kononnya ada usaha untuk menjadikan agama Nasrani atau Kristian sebagai agama rasmi Malaysia. Ianya kerana saya tidak yakin akan kebenaran laporan yang dikutip oleh Utusan Malaysia daripada tulisan dua orang blogger.
Walaupun saya sedar bahawa apa yang dilakukan oleh Utusan Malaysia, iaitu mengutip berita yang amat sensitif itu daripada laman blog tanpa usul periksa akan sumbernya dan menyemak dan menyemak sama ada ianya benar atau hanya satu penulisan yang belum tentu benar, adalah sesuatu yang tidak mematuhi etika kewartawanan, iaitu memastikan kebenaran sesuatu maklumat atau cerita yang hendak disiarkan untuk bacaan umum.
Tetapi, apabila Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok mengulas mengenai jawatan Perdana Menteri, saya rasa bertanggungjawab untuk membuat sedikit ulasan.
Benar, Perlembagaan Malaysia tidak menyebut mengenai pegangan agama seseorang itu untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, tetapi ada perkara lain yang mesti dilalui sebelum seseorang itu boleh dilantik dan mengangkat sumpah pegang jawatan. Perkara ini yang tidak disebut oleh Bernard Dompok, seorang Bumiputera Kristian dari Sabah.
Saya akur dengan apa yang dijelaskan oleh Bernard Dompok kerana dia mengutip apa yang termaktub dalam Perlembagaan dan mantan PM Tun Dr Mahathir pun pernah berkata bahawa bukan mustahil bagi seorang bukan Melayu menjadi PM satu hari kelak, walaupun ia hanya satu kemungkinan yang belum tentu boleh menjadi kenyataan.
Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik suatu Jemaah Menteri, iaitu Kabinet, untuk menasihat Baginda dalam hal menjalankan tugas-tugas Baginda.
Perkara 43 juga menyebut bahawa terlebih dahulu, Baginda hendaklah melantik sebagai Perdana Menteri untuk mengetuai Jemaah Menteri yang pada pendapat Baginda akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat.
Dua perkara yang jelas adalah kuasa perlantikan berada di tangan Yang di-Pertuan Agong dan orang yang bakal dilantik itu mesti mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Rakyat. Jika kedua-dua perkara ini tidak berlaku, maka tidak akan ada Perdana Menteri atau tidak akan terlantik mana-mana pihak yang ingin menjadi PM sama ada dia beragama Islam, Kristian, Hindu atau Buddha.
Begitu juga dengan kedudukan agama rasmi Persekutuan Malaysia, iaitu Islam. Ianya termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan seperti berikut - ''Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.''
Selain Perlembagaan, Majlis Raja-Raja adalah pelindung dan bertanggungjawab untuk mempertahan kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan apa-apa usaha atau tindakan yang boleh menjejas kedudukan itu mesti melalui Majlis Raja-Raja untuk kelulusan.
Perkara 38 Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa Majlis Raja-Raja hendaklah mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara meliputi seluruh Persekutuan; mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membut atau memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang, menurut Perlembagaan, memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Berbalik kepada perlantikan Perdana Menteri, kita yakin dan percaya Majlis Raja-Raja tidak akan melakukan kesilapan dengan memperkenankan seseorang yang bukan beragama Islam.
Saya percaya semua pihak yang waras dan berpendidikan tahu dan sedar akan hakikat itu dan mereka tidak akan mengusulkan untuk menjadikan mana-mana agama lain sebagai agama rasmi Malaysia. Sebab itu saya tidak percaya akan kebenaran bertita yang disiarkan tanpa sumber rasmi dan sahih itu. Utusan Malaysia telah melakukan kesilapan dengan menyiarkan berita sedemikian di muka hadapan tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihan dan kebenarannya.