'Kristian agama rasmi' mungkin kerja Umno
Harakahdaily
GEORGETOWN, 9 Mei: Spekulasi 'Kristian agama rasmi' yang dilaporkan Utusan Malaysia beberapa hari lalu mungkin didalangi pemimpin Umno pusat sendiri demi memastikan 70 peratus pengundi Melayu kekal menyokong Barisan Nasional di pilihan raya umum ke-13, tegas Datuk Mansor Othman (gambar).
Bercakap ketika merasmikan Induksi Jentera PKR 2011 hari ini, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang turut mengajak rakyat khususnya Melayu supaya mempertahankan kedudukan Islam, keharmonian beragama lain di samping menolak dakyah terbaru Umno yang menggemparkan negara sekarang.
"Ini semua mungkin kerja Umno untuk memastikan sekurang-kurangnya 70 peratus undi Melayu kekal bersamanya di pilihan raya umum (ke-13). Dia (Umno) sangat takut kalau berlaku peralihan undi antara 5 peratus hingga 7 peratus.
"(Disebabkan itu), rakyat khususnya orang Melayu kena pertahan perlembahagaan, pertahan hal kedudukan Islam, pertahan kebebasan agama
dan sama-sama tolak dakyah media Umno ini yang bagi kita boleh menggugat kesejahteraan hidup rakyat," ujarnya petang semalam di Auditorium Tingkat 5, Komtar, di sini.
Beliau yang juga Naib Presiden PKR merangkap pengerusi perhubungan negeri berkata, Umno negeri khabarnya bimbang sekiranya pilihan raya umum kali ini menyaksikan Melayu pula bangkit menolak politik kotor mereka sebagaimana yang dilakukan oleh rata-rata masyarakat Cina dan India pada pilihan raya umum 2008 lalu.
Ini kerana katanya, sokongan Melayu tidak mustahil bakal mengakibatkan Umno akan hilang empat atau lima kerusi Adun lagi di negeri tersebut.
"Mereka (Umno) pun tahu bahawa kita (Pakatan Rakyat) memerlukan 40 peratus (undi Melayu) sahaja di kawasan-kawasan (Dun) majoriti pengundi adalah Melayu.
"Kalau kita (Pakatan Rakyat) bekerja keras untuk memenangkan calon-calon PKR dan PAS di kawasan-kawasan ini (majoriti Melayu), 'Swing vote' (peralihan undi) pasti akan berlaku," ujarnya di depan lebih 400 pertugas parti, di sini.
Ditambah dengan isu fitnah video seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau percaya akar umno Umno yang masih bermasuah serta rasional akan memberi 'sokongan senyap' pada Pakatan Rakyat negeri kelak.
Tuntas dari itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa Umno yang kini diteraju oleh Datuk Seri Najib Tun Razak akan mencipta pelbagai lagi isu dasyat yang boleh menggugat keharmonian rakyat demi memastikan mereka terus kekal menguasai kerajaan pusat kelak. - DM