Sabtu, 14 Mei 2011
Bakal isteri ke 4 Salih Yaacob
Salih contoh terbaik
Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
Hmetro | Pelakon, pelawak, pengacara dan penyampai radio Sinar FM, Salih Yaacob adalah contoh terbaik bagi suami yang perlu berkahwin lebih daripada seorang isteri dan berkemampuan melakukannya daripada semua sudut yang diputuskan agama.
Penceramah bebas dan perunding motivasi Human Touch Consultant, Datuk Mohd Zawawi Yusoh berkata, pendekatan digunakan suami kepada tiga isteri dan bapa 11 anak itu jelas menunjukkan dia mempunyai ilmu untuk beramal sekali gus memperlihatkan dimensi baru yang lebih positif mengenai poligami.
Bagaimanapun, katanya bukan semua suami boleh mengikut jejak Salih kerana berkahwin lebih daripada seorang isteri adalah untuk mereka yang benar-benar memahami konsepnya, bukan bagi lelaki yang hanya mahukan keseronokan dan lupa tanggungjawab.
“Poligami menjadi bagus dan seronok apabila orang yang mengamalkannya memahami matlamat dengan jelas, tetapi ramai suami berpoligami pada masa ini lebih cenderung memikirkan kehendak seksual mereka dibandingkan yang benar-benar tahu. “Apabila seseorang yang mengamalkan poligami dan mengikut pula sunnahnya, maka poligami dia akan jadi lebih kuat dan nampak sokongan daripada semua isteri, anak, malah mereka hidup dalam keadaan rukun serta aman damai seperti Salih.
“Sebelum ini orang cenderung gambarkan poligami itu suatu yang negatif, tapi sekarang apabila akhbar menghebahkan mengenai kisah Salih, ia seolah-olah memberi satu dimensi baru kepada kita memandangkan poligami akan jadi (isu) sensitif apabila disembunyi-sembunyi, tapi menjadi positif apabila dihebahkan dan diberi penerangan dalam bentuk baik. “Apapun, kita tidak mahu ia sampai mewujudkan satu fenomena dalam masyarakat apabila orang (lelaki) yang tak berkemampuan juga mahu berkahwin (amal poligami) kerana akan timbul masalah kelak,” katanya.
Beliau mengulas kisah pendekatan poligami yang diamalkan Salih bersama tiga isteri dan 11 anak, malah lelaki berusia 50 tahun itu turut bercadang melengkapkan kuota poligami tidak lama lagi dengan mengambil Emi seorang penuntut ijazah sarjana sebuah universiti tempatan sebagai isteri keempat.
Mohd Zawawi berkata, masyarakat perlu melihat berpoligami kadangkala sebagai satu rezeki, malah daripada sudut kemampuan kewangan juga beliau percaya ramai lelaki tempatan mampu, tetapi tidak ramai berani melakukannya. “Mampu saja tak cukup, perlu berani dan Allah juga memberi peluang untuk berpoligami. Saya melihat Salih diberi rezeki itu dan nampaknya dia betul-betul menghadapi (poligami) dengan telus dan ada ikatan sah. Poligami penyelesaian kepada masalah sosial termasuk zina dan kecurangan,” katanya.
Beliau juga bersetuju kisah Salih dan isterinya diberi pendedahan kerana menurutnya ia sedikit sebanyak memberi penawar kepada isteri yang sudah berpoligami, tetapi tertekan dan tidak tahu penghujung serta tiada harapan, malah tidak melihat kegembiraan.
Katanya, dengan melihat kebahagiaan dikecapi isteri Salih akan mengubat duka isteri yang tertekan sekali gus mereka akan berusaha memberi kebahagiaan dalam perkahwinan masing-masing.
Labels:
Kenyataan Akhbar