SEREMBAN: Anggota polis berpangkat konstabel yang melepaskan tembakan sehingga terkena perut seorang remaja berusia 17 tahun ketika mengejarnya di Jalan Seremban-Jelebu di sini, awal pagi kelmarin, direman seminggu bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata anggotanya itu direman sejak kelmarin dan pihaknya juga menyiasat dakwaan bapa remaja terbabit anaknya turut dipukul.
“Kita sudah mengambil keterangan anggota yang melepaskan tembakan itu, tetapi belum merekodkan keterangan mangsa kerana masih lemah," katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, Mohd Azizi Aziz, 17, cedera di perut ditembak polis apabila mangsa enggan memberhentikan motosikalnya ketika dikejar kereta peronda polis.
Terdahulu, mangsa bersama sekumpulan 20 orang yang menaiki motosikal berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Datuk Siamang Gagap di sini dan kumpulan itu berpecah apabila terserempak kereta peronda polis, manakala mangsa melarikan diri arah Jalan Seremban-Jelebu.
Mohd Azizi Aziz, 17, sudah menjalani pembedahan dan berada dalam keadaan stabil di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).
Berikutan itu, konstabel terbabit digantung tugas serta-merta kerana melepaskan tembakan tanpa justifikasi yang boleh membawa ancaman kepadanya, seperti ditetapkan Perintah Tetap Ketua Polis Negara.
Bapa mangsa, Aziz Omar, 42, berkata anaknya mendakwa ditumbuk polis dan beliau tidak menolak kemungkinan melantik peguam dan melapor polis berhubung perkara itu.
Ditanya sama ada polis akan menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kejadian itu, Osman berkata tiada keperluan