Fenomena Facebook menyerap dengan  pantas dalam masyarakat di seluruh dunia. Sejak enam tahun lalu,  pelbagai peringkat lapisan masyarakat daripada kanak-kanak, remaja,  orang dewasa mahupun warga emas, ahli-ahli politik dan selebriti tidak  ketinggalan mengikuti arus kemajuan teknologi maklumat yang menjadi  trend pada masa kini.
 
Individu yang tidak mengikuti  perkembangan semasa dianggap ketinggalan dan membosankan. Justeru, ramai  yang menyertai Facebook semata-mata tidak mahu dikatakan kolot.
  
Kebaikan Facebook diakui sebagai medium untuk menghubungkan  masyarakat di seluruh dunia melalui komunikasi alam maya.  Individu-individu yang terpisah dapat dipertemukan kembali hanya  menggunakan Facebook. Pemimpin dapat berkomunikasi secara terus dengan  rakyat menerusi Facebook.
 
Namun, seiring perkembangan  positif, laman interaktif sosial Facebook turut menyumbang kepada  pelbagai gejala negatif. Di Amerika Syarikat (AS), seorang wanita mati  dibunuh kekasihnya kerana menukar status berkahwin kepada bujang.
  
Seorang pekerja wanita di London pula dipecat selepas mendedahkan  keluhannya di Facebook berhubung suasana di tempat kerjanya dengan  mengatakan dia membenci tugasnya.
 
Selain itu, seorang guru  sekolah antarabangsa di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mati  kerana minum racun berikutan hidup dalam ketakutan disebabkan bekas  teman lelakinya telah memuatkan gambar tidak senonohnya ke dalam  Facebook.
 
Kebimbangan pengaruh negatif Facebook  menyebabkan Majlis Ulama Indonesia mengeluarkan fatwa mengharamkan  Facebook, namun tindakan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak  yang menganggapnya sebagai tidak wajar.
 
"Alangkah baiknya  kalau dapat berfacebook hari-hari...tapi kalau tak dapat pun tak apa."   
Pemikiran sebegini mungkin dapat membantu individu yang tidak dapat  berpisah dengan Facebook walau sehari, kata Ketua Pengarah Institut  Sosial Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din.
 
Menurut  Mohamed Fadzil, individu yang ketagihan Facebook tidak menyedari  masalah yang dihadapinya. Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab individu  terdekat membantunya merawat ketagihan itu selepas melihat perubahan  sikap, tabiat dan tingkah laku individu berkenaan.
 
Ketagihan  Facebook
 
"Ketagihan boleh  dikenal pasti apabila terbentuknya satu jadual atau proses pelaziman  seseorang itu tidak dapat berpisah dengan sesuatu tabiat yang wujud  akibat pengaruh atau pancingan.
 
"Manusia mudah dipengaruhi  oleh faktor psikososial iaitu mengikut arus yang berlaku dan mereka  percaya sekiranya mereka tidak terbabit, mereka dianggap kumpulan yang  ketinggalan dan membosankan," jelasnya yang menganggap sistem itu  sebagai tidak rasional.
 
Tambahnya, penyelesaian ketagihan  Facebook boleh dilakukan menggunakan pendekatan ekstrem, kompromi  mahupun psikologi.  
"Ada pihak kata haramkan penggunaan Facebook.  Ini kaedah ekstrem, manakala pendekatan kompromi memberi peluang kepada  individu berkenaan untuk menggunakan Facebook tetapi mereka dididik  supaya lebih bertanggungjawab dan tidak menyalah gunakan laman sosial  itu.
 
"Kaedah psikologi perlu bagi mengurangkan ketagihan  individu yang mempunyai pemikiran tidak rasional akibat pengaruh  Facebook. Di sini perlunya sokongan individu terdekat seperti keluarga,  pasangan dan teman rapat," katanya.
 
Kaunseling, bimbingan  dan nasihat mampu membantu menyedarkan individu yang ketagihan Facebook  supaya mereka tidak berterusan gagal menguruskan masa dan kehilangan  kemahiran sosial akibat terikat dengan komunikasi alam maya.
 
Selebriti  terkenal, Faizal Ismail atau lebih dikenali sebagai FBI, 32, mengaku  ketagihan Facebook apabila dia sentiasa memikirkan pos-pos terbaru yang  ingin diletakkan di dinding Facebooknya. Beliau juga rasa teruja setiap  kali menerima komen daripada para peminatnya.
 
"Facebook  membuatkan saya leka dan melekat di depan komputer selama berjam-jam  tanpa sedar. Tetapi, saya menggunakan alternatif lain iaitu iPhone  supaya saya dapat melaksanakan tanggungjawab tanpa membazirkan masa di  depan komputer.
 
"Bagi saya, Facebook dapat meningkatkan  komunikasi secara efisien dan tidak patut diharamkan. Tindakan  mengharamkan Facebook ibarat menafikan perkembangan teknologi maklumat  dan kita akan ketinggalan dalam pelbagai sudut," katanya.
 
Tambah  Faizal, apa yang wajar dilakukan ialah pemantauan daripada kerajaan  supaya menyekat laman-laman Facebook yang mengajak masyarakat menghina  atau membangkitkan isu-isu yang boleh mengakibatkan perpecahan.
  
Pembaca berita RTM, Norhaslina Ibrahim berpendapat, masyarakat  hari ini memanfaatkan Facebook atas dasar kesibukan dan melaluinya  banyak maklumat terkini diperoleh daripada teman-teman serta mengeratkan  hubungan sesama ahli keluarga.
 
"Facebook penting bagi  saya kerana saya tidak mempunyai masa untuk berkomunikasi dengan  teman-teman rapat dan mengetahui perkembangan diri mereka. Melalui  Facebook saya dapat bertemu dengan rakan-rakan sekolah yang sudah lama  terpisah," katanya.
 
Pelakon dan hos, Julie Woon mengatakan  dia tidak mudah terpengaruh dengan gejala negatif yang berlaku  disebabkan Facebook kerana menganggap ia tindakan individu yang  mempunyai agenda tertentu.
 
"Saya sentiasa mengemaskini  laman Facebook kerana bidang kerja yang memerlukan saya berhubung dengan  teman-teman dan para peminat. Selain itu, banyak ejen mencari saya di  Facebook untuk tujuan kerja kerana tidak mempunyai nombor telefon saya,"  katanya.
- KOSMO!



