|
SEORANG pelanggan mencuba menggunakan Apple iPad di San Francisco, California, kelmarin. - REUTERS |
WASHINGTON 6 April - Apple berjaya menjual lebih 300,000 iPad di Amerika Syarikat (AS) pada hari pertama ia dipasarkan, angka yang menepati jangkaan beberapa penganalisis, namun lebih rendah daripada apa yang diramalkan oleh pihak lain.
Menurut Apple, jumlah jualan untuk iPad itu termasuk penghantaran tempahan awal komputer dan pembelian di premis jualan di seluruh AS pada Sabtu lalu.
Jumlah jualan untuk alat multi-media skrin sesentuh itu turut menggembirakan para pelabur apabila Apple berkongsi keuntungan sebanyak 1.07 peratus di Wall Sreet, semalam yang ditutup pada harga AS$238.49 (RM834.715).
Cupertino, syarikat yang berpengkalan di California turut mendakwa, pengguna iPad memuat turun lebih satu juta aplikasi di App Store Apple pada hari pertama dan lebih 250,000 buku elektronik daripada iBookstore Apple.
"Saya gembira dapat melancarkan iPad ke seluruh dunia dan ia akan menjadi satu perubahan permainan," menurut Ketua Eksekutif Apple, Steve Jobs dalam satu kenyataan.
Apple tidak menyiarkan anggaran jualan sebelum iPad dipasarkan dan penganalisis pula memberikan pelbagai jangkaan terhadap gajet itu.
Kebanyakan penganalisis meramalkan Apple akan menjual antara 300,000 dan 400,000 unit iPad menjelang akhir minggu ini.
Bagaimanapun, Wall Street Journal yang memetik Piper Jaffray penganalisis Gene Munster sebagai berkata, menjangkakan jualan iPad mampu mencecah 600,000 sehingga 700,000 unit.
Kumpulan perkhidmatan kewangan antarabangsa, Credit Suisse pula menyediakan jangkaan kasar berhubung jualan iPad antara 400,000 hingga 500,000 unit, selain menggambarkan 300,000 sebagai angka yang mampu diraih dalam masa sehari jualan gajet itu.
Sementara itu, penganalisis teknologi, Carmi Levy mengakui bahawa sangat sukar untuk mentafsir jumlah jualan pada hari pertama, terutama apabila menyentuh mengenai gajet unik itu yang tidak dapat dibandingkan dengan produk lain. - AFP-UTUSAN