Jumaat, 30 Mac 2012

SPRM: 'Jangan politikkan rasuah' (Nanti Barisan Nasional Mamposs)

NURKHAIRINI JUMARI

sprm_shukri-new
SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa masyarakat terutamanya pemimpin politik agar tidak mempolitikkan isu berkaitan rasuah bagi membantu badan bebas itu melaksanakan siasatan dengan rapi tanpa gangguan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdull berkata, pemimpin politik perlu menterjemahkan persepakatan tidak mempolitikkan rasuah yang dimenterai bersama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) dalam Jawatankuasa Khas SPRM di Parlimen.

Menurutnya, masalah dan kekangan yang dihadapi oleh SPRM dalam menyiasat dakwaan rasuah membabitkan pemimpin politik ialah rasuah tersebut dipolitikkan demi kepentingan mereka.

“Isunya kini, jangan hanya bercakap tetapi kita perlu terjemahkan dalam bentuk tindakan.

“ Mulai hari ini, dengan persetujuan wakil dua pemimpin dari BN (Ahli Parlimen Datuk Rahman Dahlan) dan PR (Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli) tidak mempolitikkan rasuah, saya minta ianya terjemahkan dengan tindakan,” katanya dalam Siri Wacana Sinar Harian ke-12 di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, hari ini.

Menurutnya , SPRM memohon kerjasama daripada masyarakat dan pemimpin agar membuat laporan dan member i maklumat berkaitan rasuah secara senyap serta tidak menghebahkan kepada pihak lain dan juga media.

Katanya, tindakan menghebohkan yang menjadi trend pemimpin politik pada masa ini akan mengganggu siasatan di mana kes ini sudah bocor di peringkat awal.

“Apabila hendak membuat laporan kepada SPRM sudah hebah di blog, bawa rombongan ke SPRM dan juga jemput media, perkara ini sudah heboh.

“Tindakan sebegini akan menyukarkan siasatan SPRM, bukti akan hilang, dokumen akan dimusnahkan dan saksi akan bersepakatan tidak beri kerjasama,” katanya.

Beliau memberitahu, rasuah bukan seperti jenayah biasa di mana jenayah ini memberi keuntungan kepada kedua- dua pihak.

“Jika laporan dibuat dihebohkan, mereka yang menerima dan memberi rasuah kedua- duanya mendapat untung. Satu pihak dapat duit, satu pihak dapat projek di mana di antara mereka ini adalah rakan karib, ada tali persaudaraan dan rakan parti politik.

“Masalah SPRM dalam mendapatkan keterangan saksi, jika masa melaporkan kepada SPRM sudah heboh, saksi yang dipanggil tiada elemen ‘surprise’ dan sukar beri kerjasama,” katanya.

Malah menurut beliau, pemimpin politik boleh menghebahkan kepada umum jika SPRM mendapati ada bukti terdapat kes rasuah dalam laporan yang dibuat secara senyap itu.

“Jika SPRM sudah siasat, sudah ada bukti, selepas itu anda nak heboh, hebohkanlah. Tidak ada masalah,” katanya.

Mengulas mengenai persepsi ‘ikan bilis dikejar, ikan jerung dilepaskan’ dalam siasatan SPRM, Mohd Shukri berkata, sejarah membuktikan bahawa pemimpin politik di Malaysia paling ramai didakwa kerana rasuah berbanding negara-negara lain.

“Badan bebas ini sudah mengambil tindakan pada ahli politik yang terlibat dalam rasuah sejak tahun 60-an lagi.

“Tiada isu ‘ikan bilis dikejar, jerung dilepas’ kerana SPRM mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang memberi dan menerima rasuah. Kita tangkap berdasarkan bukti bukan sentimen,” katanya.

Mohd Shukri berkata, persepsi masyarakat yang mengatakan SPRM tidak melakukan siasatan kerana mereka mengandaikan SPRM tidak buat kerja jika dakwaan kes rasuah dihebahkan itu tidak di bawa ke mahkamah.

“Dalam hal ini masyarakat perlu jelas, SPRM siasat semua kes yang dilaporkan, banyak kes yang disiasat tetapi di peringkat pendakwaan mengatakan tidak cukup bukti,” katanya.
Related Posts with Thumbnails