Lizawati Madfa
GOMBAK
: Jabatan Perhutanan Selangor hari ini mengambil tindakan menyita
sebuah restoran di Batu 12 3/4 yang didakwa menjalankan aktiviti tarian
‘dangdut rimba’ sebagai salah satu ‘menu’ penarik pelanggan.
Menurut
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Hutan, Mohd Yussainy
Md Yusop, tindakan itu diambil bagi membolehkan pihaknya menjalankan
siasatan lanjut berhubung dakwaan itu.
“Tindakan kita pada petang
ini ialah untuk memberi respon serta merta ke atas satu aktiviti
pendudukan tanpa kebenaran dalam Hutan Simpan Hulu Gombak yang
disiarkan di sebuah akhbar nasional.
“Jadi, hari ini Jabatan
Hutan seramai 30 anggota telah hadir ke kawasan ini untuk kita buat
sitaan dan kita membuka semua struktur sementara yang dibangunkan,”
ujar Hussainy.
Operasi petang tadi menyaksikan tiga buah khemah
tidak kekal dan dua buah khemah besar disita bersama-sama dengan
peralatan perniagaan.
Beliau menjelaskan, tindakan tersebut juga
merupakan satu proses siasatan di bawah Seksyen 32 iaitu menduduki
tanpa kebenaran dan permit penggunaan menurut Akta Perhutanan Negara
1984.
“Jika disabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga
RM50, 000 atau penjara antara satu hingga lima tahun,” tambah Yussainy
sambil memberitahu kebanyakan pusat rekreasi di kawasan berkenaan
dijalankan tanpa kebenaran.
Satu laporan penuh akan dikemukakan
kepada Kerajaan Negeri Selangoruntuk diputuskan oleh Majlis Mesyuarat
Exco mengenai tindakan dan langkah untuk menangani masalah tersebut.
Sementara
itu, pengusaha restoran terbabit, Mohamad Asri Md Nur,38, menyangkal
dakwaan akhbar berkenaan yang disifatkan sebagai fitnah semata-mata.
“Apabila
jadi perkara begini atas dasar satu fitnah yang tidak berlaku pun,
tidak apalah, saya pasti ada hikmahnya,” ujar Asri sambil menafikan
restorannya menjalankan aktiviti tarian sebaliknya sekadar perkhidmatan
karaoke.
Asri juga memberitahu, restoran berkenaan baru
beroperasi selama tiga bulan dan menjalankan operasi perniagaan selepas
waktu Isyak dan menutup operasi sekitar 1 pagi.
Sebelum ini tapak rekreasi yang berkeluasan 10 ekar itu menjalankan operasi kem motivasi.