Isnin, 19 Disember 2011

Warga Afrika Bergelar jutawan dalam tempoh 6 bulan

Inilah yang dilakukan seorang warga Afrika apabila dia mampu membina sebuah banglo dan hotel bertaraf lima bintang bernilai RM400 juta ($164 juta) di negaranya selepas melakukan penipuan di Malaysia.

Difahamkan, lelaki itu tiba hanya sehelai sepinggang di Malaysia pada 2008.

Dalam tempoh enam bulan sahaja, dia bergelar jutawan dan kini menjadi idola golongan muda sebuah negara di Afrika kerana kejayaannya itu.

Kes melibatkan lelaki 'Awang Hitam' itu dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Berdasarkan rekod, kegiatan penipuan warga Afrika itu semakin serius dan ia menjadi keutamaan setiap kali siasatan dijalankan pasukan itu.

Pengarahnya, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata kegiatan lelaki itu melakukan penipuan besar terbongkar selepas polis menahan beberapa penjenayah warga Afrika.

'Dalam siasatan yang dijalankan, kami mendapati maklumat bahawa kecenderungan lelaki Afrika lain datang ke negara ini adalah bagi mengecap kejayaan seperti idola mereka yang telah bergelar jutawan.

'Kejayaan lelaki itu didedahkan dalam pertemuan setahun sekali antara kesemua penipu rakyat Afrika, yang diadakan ketika mereka pulang bercuti sempena Krismas.

'Berikutan kejayaan itu, lelaki tersebut dianggap legenda dan menjadi idola rakyat Afrika lain untuk melakukan penipuan, khususnya di Malaysia dan negara-negara Arab,' katanya kepada Mingguan Malaysia.

Penipuan yang dilakukan warga Afrika di Malaysia bukan perkara baru, malah ia semakin serius apabila sebanyak RM29 juta kerugian telah dicatat dari Januari sehingga Oktober tahun ini.

Datuk Syed Ismail berkata, menurut sebuah buku yang menjadi panduan dan inspirasi penipu warga Afrika, segala penipuan yang dilakukan oleh rakyat benua itu didalangi sindiket.

Sindiket penipuan itu dikatakan mempunyai agenda dan hala tuju besar untuk negara mereka. Ia melatih penipu warga Afrika dan menyasarkan mereka mampu menguasai ekonomi Afrika pada masa depan.

'Berdasarkan kejayaan itu, mereka juga menjadi pemimpin politik, sekali gus mampu membina semula kemajuan negara-negara Afrika,' jelas beliau.

Menurut beliau, impian penipu-penipu tersebut tidak mustahil dicapai kerana rakyat Malaysia tidak peka dengan sesuatu pelawaan dan mudah menjadi mangsa penipuan.
Related Posts with Thumbnails