Tiada surat mahupun permintaan bertulis dibuat oleh beliau kepada Bank Dunia, kata Mahathir menjawab dakwaan yang ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau pernah berbuat demikian ketika krisis kewangan 1999.
"Jika Anwar boleh menunjukkan bukti sebaliknya, dia patut berbuat demikian. Jika tidak dia mesti bersumpah dengan al-Quran di masjid bahawa dia tahu apa yang dia kata itu benar.
Saya bersedia untuk bersumpah bahawa saya tidak pernah meminta pinjaman daripada Bank Dunia," katanya lagi dalam tulisan di blog beliau, chedet.co.cc, semalam.
Mahathir mengambil alih kedudukan sebagai menteri kewangan selepas Anwar dipecat dan dipenjarakan pada 1998.
Katanya lagi, pinjaman sebanyak USD300 juta ditandatangani dengan Bank Dunia pada Jun 1998, ketika Anwar masih menjadi menteri kewangan, untuk makanan, pendidikan tinggi dan program mikrokredit.
Sebanyak USD100 juta turut ditandatangani untuk bantuan teknikal pada Mac 1999, namun hanya USD11.94 juta dikeluarkan.
Pinjaman sektor sosial sebanyak USD60 juta dihentikan selepas pengeluaran sebanyak USD60,000 manakala satu pinjaman pendidikan dihentikan selepas sejumlah USD244 juta dikeluarkan.
Kedua-duanya diluluskan pada Mac selepas Anwar dipecat daripada jawatan menteri kewangan.