Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR: Sekadar meyakinkan 450 orang untuk kembali dan bekerja di negara ini masih tidak sepadan peruntukan besar kepada Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.
"Memang patut ada usul potong gaji Perdana Menteri di Dewan Rakyat. Dialah dahulu yang cakap berdegar-degar tentang TalentCorp," katanya merujuk kepada cadangan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua untuk mengemukana usul untuk memotong gaji Perdana Menteri ekoran 'masalah dan kepincangan' yang berlaku sejak Datuk Seri Najib Tun Razak menjawat jawatan itu pada April 2009.
Malah, kata Salahuddin lagi, dalam Bajet 2011 yang dibentangkan tahun lalu, Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan memperuntukan sejumlah yang begitu besar kepada TalentCorp dan kemampuan meyakinkan 450 orang dalam tempoh setahun untuk kembali dan berkerja di negara ini amat tidak sepadan dengan peruntukan yang sangat besar itu.
"Malah, dakwaan itu pun masih boleh dipertikaikan. Adakah yang dibawa balik itu benar-benar diperlukan oleh negara ini atau adakah yang pulang itu terdiri dari golongan yang sudah tidak ada peluang lagi berkerja di luar negara?" kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu ketika mempertikaikan dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Idris Jala semalam mengenai apa yang disifatkan sebagai kejayaan TalentCorp.
Menurut Salahuddin, sudah menjadi pengetahuan umum bahawa ramai tenaga kerja professional termasuk para jurutera yang berkerja di negara-negara Eropah yang terpaksa pulang ke negara ini akibat kemelesetan ekonomi yang sedang melanda negara-negara itu kini.
"Sebab itulah kita tidak yakin bahawa yang bersetuju pulang untuk berkerja di Malaysia itu benar-benar pakar yang diperlukan kepakaran mereka oleh negara ini walaupun Idris mendakwa mereka akan pulang di bawah REP (Program Kepulangan Pakar)," kata beliau.
Lebih menghairankan, kata Salahuddin, mengapa perkara itu tidak dinyatakan oleh Timbalan Menteri di JPM, Datuk S K Devamany dalam jawapan kepada soalan beliau di Dewan Rakyat, Isnin lalu.
"Adakah Idris seorang sahaja yang tahu angka itu sehingga perkara itu tidak dinyatakan dalam jawapan Devamany kepada soalan saya? Hanya menteri sahaja yang tahu dan timbalan menteri tidak tahu walaupun sama-sama di JPM?
"Saya benar-benar berharap Idris tidak memetik angka itu dari langit!" kata beliau.
Dalam jawapannya itu, Devamany berkata, dianggarkan 800,000 hingga 1.4 juta rakyat Malaysia bekerja di luar negara sehingga April tahun ini berdasarkan angka yang dikeluarkan Bank Dunia berikutan kajian bersama dengan Unit Perancang Ekonomi, JPM.
"Jumlah tersebut amat besar dan TalentCorp yang ditubuhkan kononnya untuk memujuk mereka pulang juga terus dikecam, mendapat liputan buruk, dipersoalkan di mana blueprint yang siap untuk dilaksanakan malah ada taklimat TalentCorp di luar negara yang menjadi bahan ketawa dan diperlekehkan habis-habisan sehingga TalentCorp digelar Talent Corpse (corpse maknanya mayat).
"Malangnya, bila saya tanya mengenai TalentCorp, jawapan yang saya terima tidak memuaskan malah dianggap sambil lewa oleh penyokong kerajaan sendiri," kata Salahuddin.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh menyifatkan Devamany tidak menjawab soalan.
"Seronok kita dengar jawapan daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri. Akan tetapi TalentCorp ini berupaya atau tidak sebab Yang Berhormat Timbalan Menteri tidak menjawab soalan," katanya.
Ahli Parlimen Barisan Nasional itu juga menuntut supaya diberitahu mengapa rakyat Malaysia yang berkerja di luar negara itu tidak mahu pulang dan berkerja di Malaysia sedangkan ada di antara mereka yang menerima biasiswa.
"Ini soalan yang kita mahu tahu kalau setakat sambil lewa memang kita tidak akan mendapat soalan yang betul. Jadi tambahan soalan ini daripada JPA, dibagi biasiswa JPA kemudian berapa banyak dan kenapa mereka tidak mahu balik?" kata Abdul Ghapur.