Mereka dari kumpulan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh menentang kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
PETALING JAYA: Nasib masa depan sekumpulan wakil rakyat Umno di Terengganu kini tidak menentu kerana mereka belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankan kerusi masing-masing atau sebaliknya.
Umno Terengganu berpecah kepada dua kem. Mereka dari kumpulan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dikatakan semakin diketepikan oleh kumpulan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
“Sekurang-kurangnya 10 Adun Umno dari kumpulan Idris dijangka digugurkan,” kata sumber Umno negeri hari ini.
Antara wakil rakyat yang menjadi sebutan digugurkan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Datuk Rosol Wahid; Datuk Din Adam (Bukit Besi); Alias Abdullah (Alor Limbat); Zakaria Ariffin (Paka); Nawi Mohamad (Hulu Besut) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri).
“Muka-muka baru dari kumpulan Ahmad akan menggantikan mereka, kita sedang memilih calon baru untuk kawasan-kawasan berkenaan. Ini membuka peluang kepada wakil rakyat penyokong Idris untuk bertanding semula dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.
‘Saya bersedia digugurkan’
Sementara itu, Nawi yang dihubungi hari ini berkata, beliau sedia digugurkan dari bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun katanya, wakil rakyat lama dan sudah bertahun-tahun menjadi Adun juga perlu digugurkan.
“Tidak boleh lagi Adun-Adun lama bertahan kerana kita perlu meletakkan wakil rakyat muda. Masa sudah berlalu…bukan waktu lagi untuk wakil rakyat yang sudah tua,” tambahnya.
Nawi yang juga naib ketua Umno bahagian Besut berkata, Umno negeri sudah kembali normal kerana kumpulan Idris dan Ahmad sudah berbaik semula.
Katanya, tidak ada lagi kumpulan Idris dan kumpulan Ahmad, semuanya sudah menjadi satu.
Pada 2008, selepas pilihan raya umum Umno Terengganu terbelah dua apabila sebahagian besar Adun menentang pelantikan Ahmad sebagai menteri besar.