Khamis, 17 November 2011

Muhyiddin Jadi Bodoh Hina Graduan UPSI

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sepatutnya menghina para graduan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dengan mengeluarkaan kenyataan yang mencadangkan mereka mencari pekerjaan lain.

Sebaliknya, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran sewajarnya mengambil usaha membantu menyelesaikan masalah penempatan mengajar kepada mereka.

Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria berkata, para graduan UPSI terbabit berjumlah 5,000 orang dan kesemua mereka adalah lulusan ijazah sarjana muda perguruan.


Menurut beliau, kesemua mereka sepatutnya sudah ditempat mengajar di sesebuah sekolah, tetapi sehingga kini masih menerima nasib tidak menentu, walaupun mereka tidak sepatutnya menerima nasib sedemikian.

Katanya, bagi mendapatkan perhatian pihak kerajaan, mereka telah mengadakan demonstrasi di UPSI baru-baru ini, tetapi masih belum mendapat tindakan yang sewajarnya dari pihak kerajaan.

"Timbalan Perdana Menteri mencadangkan agar mereka mencari kerja lain. Ini jelas merupakan penghinaan terhadap graduan-graduan UPSI," katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat Jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Namun dalam masa yang sama, menurut beliau, guru-guru tanpa ijazah pula diberikan keistimewaan oleh pihak kerajaan dengan diberikan peluang penempatan mengajar dengan sewajarnya.

"Jadi saya minta Kementerian Pelajaran lihatlah isu ini dan selesaikan dengan baik dengan segera," katanya.

Sementara dalam perkembangan lain, beliau mendedahkan 24 orang pelajar di Kuala Nerang, Kedah telah mengalami masalah setelah minum Susu 1.Malaysia baru-baru.

Daripada jumlah itu, katanya, 8 orang telah mengalami masalah serius sehingga terpaksa dimasukkan ke wad di Hospital Kuala Nerang.

"Saya difahamkan, Susu 1Malaysia itu diberikan kepada semua pelajar di seluruh negara. Diharap pihak kementerian menarik balik bekalan Susu 1Malaysia di sekolah-sekolah kerana ia tak baik kepada kesihatan," katanya.

Beliau turut meminta Kementerian Pelajaran memberikan perhatian terhadap masalah keciciran para pelajar dalam pelajaran kerana sehingga kini jumlah mereka yang terbabit agak tinggi.

Tambahnya, sejak tahun 2006 hingga 2010, bilangan para pelajar yang tidak meneruskan pelajaran ke peringkat menengah di seluruh negara berjumah 800,000 orang.

Beliau turut kesal kerana jumlah para pelajar yang melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara sehingga kini masih rendah iaitu  hanyalah sebanyak 29.7 peratus.

"Jadi saya minta kepada pihak kementerian agar memikirkan bagaimana boleh dipertingkatkan lagi jumlah para pelajar menyambung pelajara ke Institusi Pengajian Tinggi," ujar beliau.
Related Posts with Thumbnails