Hakim Datuk VT Singham memutuskan kenyataan pembelaan Anwar berkaitan perlindungan bersyarat, ulasan adil dan justifikasi patut diputuskan pada akhir perbicaraan.

Katanya defendan (Anwar) berhak memfailkan kenyataan pembelaan untuk mematahkan kes itu.
Bagaimanapun, hakim memadamkan tiga perenggan kenyataan pembelaan Anwar kerana ia tiada kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan plaintif (Hishammuddin).
Hakim juga memerintahkan Hishammuddin membayar RM25,000 sebagai kos kepada Anwar. Beliau menetapkan tiga hari bermula 5 Dis untuk mendengar saman itu.

Pada 26 April, Hishammuddin memfailkan saman fitnah terhadap Anwar berhubung temuramah ketua pembangkang itu dengan wakil media pada 22 Mac di ibu pejabat polis Dang Wangi selepas membuat laporan menafikan dirinya adalah lelaki dalam video itu.
Menteri itu berkata kata-kata berkenaan difahamkan membawa maksud yang beliau bertanggungjawab menayangkan video itu kepada sekumpulan editor dan wartawan di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac.

Dalam kenyataan pembelaannya, Anwar berkata kata-kata beliau telah diterbitkan atas kapasiti perlindungan bersyarat dan kedudukannya sebagai ketua pembangkang.
Anwar juga memfailkan kenyataan balas menyatakan kata-kata Hishammuddin dalam sidang akhbarnya pada 21 Mac, seolah-olah mengesahkan kenyataan oleh tiga individu yang mendedahkan video itu bahawa pelaku dalam video itu adalah dirinya (Anwar).
- Bernama