RAKYAT Singapura akan mengundi pada Sabtu, 7 Mei, yang ditetapkan sebagai cuti umum.
Pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan pemerintah, mengakhiri penantian dan spekulasi mengenai tarikh pilihan raya umum sejak tahun lalu.
Hari Penamaan Calon ditetapkan pada 27 April, memberi ruang kepada kempen pilihan raya selama sembilan hari dan Hari Bertenang selama sehari.
Kenyataan itu menyusuli pembubaran Parlimen yang diisytiharkan Presiden S R Nathan pada 3 petang semalam, atas nasihat Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.
Hari Bertenang, yang pertama kali dikenalkan, adalah bagi membolehkan pengundi membuat keputusan secara tenang sebelum mengundi dan parti-parti politik dan calon-calonnya tidak dibenarkan berkempen pada hari tersebut.
Pilihan raya kali ini adalah yang kedua bagi Encik Lee selaku Perdana Menteri.
Ia disifatkan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) sebagai pilihan raya umum genting kerana parti pemerintah ingin menyerap dan memupuk kepimpinan muda bagi membentuk pucuk pimpinan akan datang.
Bahang pilihan raya umum telah dirasakan apabila PAP mula mengenalkan calon-calon baru sejak bulan lalu.
Kesemuanya, terdapat sejumlah 24 calon baru PAP, termasuk dua calon baru Melayu, antara proses pembaharuan terbesar yang dilaksanakan parti pemerintah itu.
Sekurang-kurangnya lima daripada mereka dikatakan mempunyai potensi menjadi menteri.
Pilihan raya umum kali ini dijalankan selepas perubahan dibuat pada sempadan pilihan raya, dengan 15 GRC berbanding 14 GRC sekarang ini dan 12 kawasan undi perseorangan (SMC) berbanding sembilan SMC sekarang.
Jumlah kerusi keseluruhannya adalah 87, naik daripada 84 kerusi sekarang ini.
Perubahan lain adalah pada skim Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), dengan sehingga sembilan calon pembangkang yang menunjukkan prestasi paling baik semasa pilihan raya mendapatkan kerusi di Parlimen, berbanding enam kerusi kini.
PAP kini menguasai 82 daripada 84 kerusi Parlimen.
Dalam pilihan raya lalu pada 2006, PAP memenangi 45 daripada 47 kerusi yang dipertandingkan dengan dua kerusi terus dipertahankan pembangkang - Encik Chiam See Tong di Potong Pasir dan Encik Low Thia Khiang di Hougang.
Dalam pilihan raya tersebut, PAP meraih 66.6 peratus undi berbanding 75.3 peratusan undi pada pilihan raya 2001.
Pilihan raya kali ini dilihat antara yang paling sengit dengan isu-isu seperti kos sara hidup yang tinggi dan pembanjiran pekerja asing dijangka mendapat perhatian.
Sesetengah pengamat menganggap sentimen di kalangan pengundi kali ini mungkin kurang baik atas isu-isu tersebut.
Keputusan pilihanraya 2006 - 84 kerusi Keputusan pilihanraya 2011 - 87 kerusi? Siapa menang? |
Manifesto PAP yang dibentangkan Ahad lalu memberi jaminan bahawa parti pemerintah akan melaksanakan program menyeluruh demi mencapai kehidupan lebih baik bagi semua lapisan masyarakat di masa hadapan.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Teo Chee Hean, semalam berkata manifesto itu bukan saja mengenai gambaran lebih besar iaitu menjanjikan kestabilan Singapura bahkan bertujuan menangani isu-isu harian yang menjadi keprihatinan rakyat.
Parti Pekerja (WP) sebelum ini telah melahirkan hasrat bertanding di GRC Aljunied, East Coast, Moulmein-Kallang dan Nee Soon sementara Parti Perpaduan Nasional (NSP) pula dijangka bertanding di GRC Chua Chu Kang, Jurong, Tampines dan Marine Parade.
Di Bishan-Toa Payoh, PAP juga akan berdepan dengan Parti Rakyat Singapura (SPP) yang dipimpin tokoh veteran, Encik Chiam See Tong, dengan dibantu bekas dua penerima biasiswa pemerintah, Encik Benjamin Pwee, 43 tahun, dan Encik Jimmy Lee, 35 tahun.
Pertandingan lain pula akan melihat PAP berdepan dengan Parti Demokratik Singapura (SDP) di Holland-Bukit Timah dan Sembawang, Parti Pembaharuan (RP) di West Coast dan Perikatan Demokratik Singapura (SDA) di Pasir Ris-Punggol.
Deposit setiap calon yang ingin bertanding ditetapkan $16,000 - naik daripada hanya $13,500 pada pilihan raya yang lalu.
Sekitar 2.3 juta pengundi layak mengundi dalam pilihan raya kali ini, naik daripada 2.1 juta pada pilihan raya 2006 dan 2 juta pada pilihan raya 2001.