Selasa, 19 April 2011

Jangan Tutup Kes Batang Kali, Kata Syed Husin

Ditulis oleh Radzi Razak



KUALA LUMPUR : Ahli Dewan Negara Senator Dr Syed Husin Ali tidak mahu Kerajaan Malaysia bersekongkol dengan Kerajaan British bagi menutup kes Pembunuhan Batang Kali pada 1948.

Syed Husin dalam ucapannya pada sidang Dewan Negara semalam menegaskan empat ahli keluarga yang terlibat dalam tragedi itu perlu diberikan pengadilan.

"Empat orang dari keluarga mangsa telah mengambil tindakan membawa kes ini ke mahkamah melalui syarikat guaman Bindmans, dan menuntut supaya penyiasatan awam dilakukan. Pihak Kerajaan British masih tidak mahu meminta maaf atas semua kekejaman dan kezaliman yang dilakukan.

"Saya meminta supaya Kerajaan Malaysia tidak akan mengambil apa-apa tindakan untuk bersekongkol dengan Kerajaan British bagi menutup peistiwa kejam di Batang Kali. Berikanlah keadilan kepada mangsa serta keluarga mangsa kezaliman dan kekejaman ini," kata Syed Husin.

10 April lalu, akhbar 'The Guardian' dari United Kingdom melaporkan bahawa Kerajaan British menekan Kerajaan Malaysia untuk menghentikan siasatan Polis Di Raja Malaysia pada 1993 mengenai pembunuhan 24 pekebun getah di Batang Kali, Hulu Selangor dalam satu operasi regimen Tentera Bristish.

Menurut laporan akhbar itu, PDRM telahpun bekerjasama dengan Interpol dan sudahpun merancang melakukan lawatan ke UK pada tahun itu untuk menyoal-siasat askar yang terlibat dalam pembunuhan tersebut tapi dihalang Kementerian Luar UK.

Malah, petisyen yang dihantar kepada Ratu Elizabeth 2 pada Disember lalu turut ditolak walaupun Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Simon Featherstone menyatakan Kerajaannya akan mengambil perhatian terhadap perkata tersebut.

Keempat mereka, Loh Ah Choi, Lim Kok, Chong Nyok Keyu dan Wooi Kum Thai mendakwa menyaksikan pembunuhan ke atas ahli keluarga mereka dan mahu Kerajaan British memohon maaf serta melakukan inkuiri awam terhadap kejadian tersebut.

Dr Syed Husin mendedahkan betapa kerajaan Malaysia sendiri penah menutup siasatan itu sebelum ini.

"Pada tahun 1970 ada percubaan oleh Metropolitan Police di bawah seorang dari Scotland Yard bernama Detective Chief Superintendant Frank Willams untuk dihantar ke Malaysia bagi menyiasat perkara ini. Akan tetapi siasatan ini ditamatkan oleh Kerajaan Konservatif yang baru mengambil alih kuasa kerana tidak mahu sejarah hitam British ini didedahkan.

"Peristiwa ini sering disebut sebagai Mai Lai British. Mai Lai merujuk kepada kekejaman serupa yang dilakukan oleh tentera Amerika di Vietnam."

"Seorang penulis British telah menerbitkan sebuah buku bertajuk Slaughter and Deception in Batang Kali pada tahun 2009. Beliau menyatakan pada tahun 1994 beliau mendapat nota-nota di antara dua orang pegawai tinggi dari Pejabat Luar British dengan seorang ketua polis dari Malaysia. Mereka berbincang tentang penutupan kes kezaliman ini," dedah Syed Husin.

Menurut Bekas Timbalan Presiden Keadilan itu lagi, hal ini menunjukkan betapa keburukan Undang-Undang Darurat Malaysia, yang juga merupakan pemegang rekod Darurat paling lama di dunia.

Justeru beliau menyatakan sudah tiba masanya undang-undang kuno ini dimansuhkan
"Dengan Perisytiharan 1948, Malaysia mempunyai undang-undang darurat yang paling lama sekali berkuatkuasa dalam dunia. Selepas kebangkitan rakyat di Tunisia, Mesir dan Algeria, negara-negara tersebut mengumumkan sudah atau akan memansuhkan Undang-undang Darurat masing-masing. Undang-undang mereka ini telah berkuatkuasa hanya antara 20 hingga 40 tahun saja. Kita lebih 60 tahun.

"Demi menegakkan demokrasi yang tulen di negara ini, Kerajaan UmnoBn hendaklah memansuhkan perisytiharan semua Undang-undang Darurat ini. Atau adakah kita hendak menunggu dulu sehingga rakyat bangkit beribu-ribu di jalanraya seperti di negara-negara Arab itu?"kata beliau.
Related Posts with Thumbnails