Jumaat, 1 Oktober 2010

Umno Perbodohkan Warga Emas Pulau Pinang

Kenyataan Media YB Hj Abdul Malik Exco Agama P.Pinang.

Selepas gagal meniupkan api perkauman sempit dan memanipulasi isu agama bagi menimbulkan kebencian dan kemarahan rakyat kepada kerajaan negeri Pulau Pinang, kini Umno mencuba nasib sekali lagi dengan mengheret warga emas yang selama ini diabaikan kebajikan mereka oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak mereka mentadbir negeri ini lebih 50 tahun lalu.

Itu tidak menghairankan, apabila buat julung kali kerajaan negeri memperkenalkan Program Penghargaan Warga Emas, iaitu sumbangan sebanyak RM100 setahun dan RM1000.00 kepada waris warga emas yang meninggal dunia, Umno mempertikaikannya dengan menuduh kerajaan negeri cuba merasuah rakyat. Dan terbaru menuduh kerajaan negeri menggunakan wang hasil judi untuk membiayai program tersebut.

Umno cuba menunjuk alim, seolah-olah mereka membenci judi dan rasuah, hakikatnya semua premis perjudian yang beroperasi di negara ini, diluluskan oleh kerajaan pusat melalui Kementerian Kewangan. Ia bermula dengan pembinaan kasino pertama di Genting Highland sekitar tahun 1969.

Jika benar Umno ikhlas mereka sepatutnya membersihkan dahulu ‘najis’ itu di peringkat kerajaan pusat, termasuk tidak membiarkan orang Melayu Islam menjadi lembaga pengarah syarikat perjudian.

Apabila menerajui Kerajaan negeri pada Mac 2008, kerajaan memperkenalkan urustadbir Cekap, Akuantabiliti, Telus (CAT), yang telah membolehkan Pulau Pinang mencatatkan lebihan belanjawan yang paling besar dalam sejarah negeri ini.

Sewaktu pentabiran BN, budget pada tahun 2008 dianggarkan defisit sebanyak RM35.6 juta dan pada tahun 2009 defisit sebanyak RM39.4 juta.

Bagaimanapun, hasil urustadbir CAT, kerajaan berjaya mencatatkan lebihan sebanyak RM88 juta pada tahun 2008 dan RM77 juta pada tahun 2009. Jumlah pada tahun 2009 ini sepatutnya mencapai sebanyak RM92 juta, sekiranya kerajaan tidak terpaksa membayar kepada pihak berkenaan hasil penyelewengan tanah dalam isu Tang Hak Joo sewaktu pemerintahan BN .

Hasil pentadbiran berjimat cermat inilah kerajaan mampu menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada warga emas melalui Program Sumbangan Warga Emas, dan kepada golongan miskin tegar melalui program Rakan Miskin Tegar (RAK) yang diperkenalkan pada tahun 2008.

Menyedari Program RAK adalah inisiatif murni kerajaan negeri untuk membasmi miskin tegar, banyak pihak tampil untuk membantu kerajaan negeri dengan menghulurkan sumbangan mereka, termasuk daripada Kelab Lumba Kuda.

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, menyedari sensitiviti wang derma daripada Kelab Lumba Kuda untuk orang Islam, maka sumbangan tersebut telah diasingkan dan hanya digunakan untuk golongan miskin tegar bukan Islam.

Perlu ditegaskan kepada orang Islam, baik warga emas ataupun golongan miskin tegar, wang yang mereka terima selama ini adalah hasil lebihan belanjawan kerajaan negeri, bukannya hasil sumbangan judi seperti yang didakwa pemimpin Umno.

Justeru itu mereka yang telah menerima sumbangan tersebut, tidak perlulah merasa ragu dan bimbang untuk membelanjakan wang berkenaan kerana kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM20 juta untuk mereka.

Usah terpedaya dengan propaganda Umno, yang tiba-tiba cuba berlagak hero sebagai pembela, padahal golongan warga emas ini tidak dihargai dan miskin tegar diabaikan selama ini.

Related Posts with Thumbnails