Khamis, 30 September 2010

KDN Larang Penerbitan Buku The March To Putrajaya


KL Khamis Sept 30,10: Kementerian Dalam Negeri telah mengenakan perintah larangan terhadap sebuah buku tulisan Kim Quek yang boleh menghasut pembaca untuk membenci Perlembagaan.

Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Seri Mahmood Adam berkata buku bertajuk 'The March to Putrajaya-Malaysia's New Era Is At Hand' tidak sesuai untuk bacaan umum.

"Bahan penerbitan itu dikenakan Perintah Larangan kerana isi kandungannya mempunyai unsur-unsur tohmahan dan spekulasi serta tuduhan-tuduhan tidak berasas terhadap pemimpin negara serta boleh menimbulkan kebencian dan kemarahan masyarakat.

"Sekiranya ia dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam dan kepentingan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Mahmood berkata mereka yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki bahan penerbitan dilarang, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Buku "The March to Putrajaya - Malaysia New Era Is At Hand" itu yang mengandungi 361 muka surat dikatakan memutar belit banyak perkara dan menghasut rakyat untuk membenci Perlembagaan. -BERNAMA
Related Posts with Thumbnails