HMetro | PETALING JAYA: “Seluruh bangunan pangsapuri 18 tingkat ini bergegar kuat seperti gempa bumi sejurus lif berkenaan terhempas jatuh diikuti dengan bunyi letupan,” kata salah seorang pelajar, Mohd Taqiuddin Ali, 15, yang kebetulan menunggu di hadapan pintu lif untuk pulang ke rumahnya di tingkat sembilan pangsapuri berkenaan, semalam.
TEGANG...beberapa penduduk hilang sabar sebelum mencabar pihak pemaju.
KUGAHAN...patah dua tulang kaki kanan
Menurutnya, dia yang tergamam dengan kejadian itu mampu mendengar bunyi jeritan dan rintihan mangsa yang ketika itu masih terperangkap di dalam lif.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, sepasang suami isteri dan dua pelajar cedera selepas lif dinaiki mereka untuk pulang ke unit rumah masing-masing terhempas di tingkat bawah Blok A, Pangsapuri Impian Baiduri.
“Ketika itu beberapa penghuni pangsapuri yang terkejut dengan bunyi dentuman itu segera turun sebelum berusaha mengumpil pintu lif berkenaan.
“Sebaik pintu lif terbabit dibuka, saya melihat beberapa mangsa bergelimpangan kesakitan dalam lif dan seorang pelajar sekolah perempuan terbaring tidak sedarkan diri,” katanya.
Menurutnya, ketika itu, dia sempat melihat salah seorang mangsa adalah guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Utama yang dikenali sebagai Cikgu Zarina.