KUALA  LUMPUR 13 Sept. - Polis tidak menolak kemungkinan pembabitan pembunuh  profesional atau kumpulan samseng dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik,  Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Pembunuh profesional  atau kumpulan samseng itu dikatakan bekerjasama dengan dua peguam  adik-beradik yang ditahan sebagai suspek utama termasuk salah seorangnya  bergelar Datuk bagi melakukan pembunuhan kejam itu sebelum membakar  mayat mereka.
 
Menurut sumber, siasatan juga mendapati  Datuk itu pernah memberi bantuan guaman kepada pertubuhan haram Hindraf  dan menjadi ahli seumur hidup kepada sebuah parti politik.
Selain  itu, kata sumber tersebut, setakat ini pihak polis telah mendapat  maklumat penting berhubung pemilikan suspek terhadap beberapa hartanah  yang dipercayai diperolehi secara tidak sah, selain kes-kes membabitkan  penipuan terancang.
Semalam, polis mengesahkan Sosilawati, 47,  bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin ,44,  pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad  Kamil Abd. Karim, 32, yang hilang sejak 30 Ogos lalu dibunuh.
Mangsa dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, di Morib.
Selain Datuk itu dan adiknya, polis turut menahan enam individu lain termasuk dua wanita.
Mengulas  lanjut, sumber berkenaan memberitahu, kejayaan polis membongkar kes  pembunuhan itu dalam tempoh singkat berpandukan kepada maklumat yang  diperoleh daripada pesanan yang ditinggalkan Sosilawati.
"Polis  bernasib baik kerana mangsa sempat meninggalkan pesanan kepada ahli  keluarganya memaklumkan lokasi dan individu yang mahu ditemui pada hari  dia dilaporkan hilang.
"Maklumat penting ini membolehkan polis  menjejaki suspek dua beradik terbabit sebelum berjaya diberkas Sabtu  lalu," katanya ketika dihubungi.
Difahamkan, siasatan polis juga  mendapati suspek bergelar Datuk tersebut kerap menghulurkan pelbagai  bentuk bantuan termasuk menawarkan khidmat guaman secara percuma.
Malah,  dia juga dikatakan bijak menarik perhatian masyarakat menyebabkan firma  guamannya menjadi popular dan ramai pelanggan berminat mendapatkan  khidmat termasuk golongan kenamaan.
Difahamkan, peguam terbabit  pernah beberapa kali memanggil media untuk mengadakan sidang akhbar  berhubung mangsa yang dianiaya oleh majikan dan kes-kes membabitkan  gangguan seksual.
Selain itu, menurut sumber polis, dua beradik  berkenaan pernah dikenakan tindakan tatatertib oleh Majlis Peguam  Malaysia, tiga tahun lalu iaitu mulai 9 Mac 2007 sehingga 30 Mac 2008.
"Kedua-dua mereka bersama seorang lagi proksi dikenakan tindakan tatatertib di bawah Perkara Akta Undang-Undang Profesyen 1976.
"Tindakan  ini menyebabkan Datuk berkenaan dan adiknya tidak layak untuk  menjalankan amalan guaman dan menawarkan khidmat guaman kepada orang  ramai," katanya.
Menurut sumber itu lagi, adik Datuk itu pula  pernah dikaitkan dengan tiga tuduhan kes pecah amanah membabitkan  pertukaran hak milik tanah yang dimiliki seorang wanita bernilai  RM200,000 pada akhir tahun lalu.
Beliau berkata, kes tersebut menyebabkan dia dihadapkan ke mahkamah pada awal Ogos lalu.
"Suspek  didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan  hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh juga  dikenakan denda.
"Dia bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin  RM50,000 sementara menunggu tarikh sebutan semula kes pada 20 September  ini," katanya.




