Selasa, 14 September 2010

Kes Sosilawati: Mangsa dibunuh dengan senjata cangkok dan disembelih

by GreenBoc |

Senjata berbentuk cangkuk sepanjang 30 sentimeter dikatakan digunakan untuk membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain sebelum mangsa dibakar dan abu mayat mereka dibuang ke dalam sungai di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini.

Gambar: ANGGOTA forensik bersama jam tangan (dalam bulatan) yang ditemui ketika mencari bukti kes bunuh Sosilawati di Sungai Kanchong Laut.

Perkara itu didedahkan salah seorang suspek berusia dalam lingkungan 20-an semalam, yang turut membawa polis ke tempat senjata berkenaan dan beberapa barang peribadi mangsa dibuang di bawah jambatan Sungai Kanchong Laut.

Dalam operasi bermula jam 4.30 petang yang turut mendapat bantuan Unit Penyelam Pasukan Gerakan Marin, polis bagaimanapun hanya menjumpai seutas jam tangan dipercayai milik seorang mangsa, manakala cangkuk berkenaan gagal ditemui.

“Pasukan penyelam yang mencari semua bahan bukti itu, termasuk senjata terbabit, menghadapi kesukaran kerana air sungai terlalu keruh dan cetek,” katanya.

Beliau berkata, operasi mencari bahan bukti itu terpaksa dihentikan, kira-kira 7 malam berikutan keadaan gelap.

Kelmarin, polis menemui beberapa spesimen, termasuk tulang dipercayai milik mangsa yang dibuang dalam Sungai Mesuk dan Panchau. Beberapa barang peribadi mangsa turut ditemui daripada beberapa suspek dan di tempat kejadian, termasuk jam tangan Sosilawati.

Pembunuhan kejam Sosilawati, 47, bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38 dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, terbongkar selepas lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya juga seorang peguam, ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan mangsa sejak 30 Ogos lalu.
Sementara itu, tinjauan di firma peguam terbabit di Jalan Sultan Alam Shah di sini, mendapati premis itu ditutup dan diletakkan garisan polis, petang semalam.

Difahamkan, premis itu adalah lokasi terakhir semua mangsa dilihat sebelum dibunuh dan dibakar di ladang milik suspek.

Sumber memberitahu firma guaman itu dipercayai lokasi urus niaga di antara suspek dan mangsa dilakukan sebelum ini, manakala tinjauan di rumah suspek utama di Taman Cempaka di sini mendapati ia tidak berpenghuni dan berkunci.

Dalam perkembangan berkaitan, ibu bapa dua beradik peguam itu dipercayai tiba di tanah air malam kelmarin selepas sebulan bercuti di India sebaik dimaklumkan mengenai penahanan kedua-dua anak mereka. -BH


Empat juga disembelih

Pendedahan terbaru berhubung kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik terkenal, Sosilawati Lawiya, 47, lebih menyentap perasaan apabila hasil siasatan tidak menolak kemungkinan mangsa bersama tiga lelaki lain disembelih menggunakan senjata tajam.

CARI...anggota pasukan penyelam polis mencari bukti di Sungai Kanchong Laut, semalam.
Sumber yang rapat dengan siasatan kes terbabit berkata, berdasarkan siasatan dilakukan, mangsa dikelar di leher sebelum dibakar oleh kumpulan penjenayah terbabit hingga menjadi debu.

“Hasil maklumat dikumpul setakat ini, polis mendapati pembunuhan itu adalah tindakan jenayah sadis yang dirancang dengan begitu rapi. Lebih mengerikan apabila semua mangsa seolah-olah dilayan seperti binatang tanpa perikemanusiaan.

“Polis turut percaya, abu dan sisa tulang semua mangsa yang dibakar terbabit bukan hanya dibuang di dalam Sungai Panchau, malah turut dibuang ke dalam beberapa parit kecil berhampiran yang arusnya mengalir ke laut,” katanya.

Dalam sidang akhbar kelmarin, Sosilawati bersama tiga mangsa lain disahkan dibunuh kejam di ladang persendirian milik suspek utama yang terletak di Sungai Gadung, Tanjung Sepat.

“Bagaimanapun, polis berjaya mengesan suspek utama bergelar Datuk berusia 41 terbabit dan adiknya berusia 38 tahun sebelum kedua-dua mereka ditahan di rumah mereka yang terletak di Taman Cempaka, kira-kira jam 5 petang Sabtu lalu.

“Setakat ini, polis menemui pisau yang digunakan untuk tujuan pembunuhan terbabit selepas melakukan pemeriksaan rapi di kawasan sungai dan parit berhampiran tapak ladang berkenaan malam Ahad lalu,” kata sumber itu.

Berdasarkan maklumat dikumpul, pisau terbabit dibuang ke dalam sungai bersama abu mayat mangsa bagi menghilangkan bukti jenayah kejam dilakukan.

“Pisau milik kumpulan pembunuh itu ditemui selepas salah seorang suspek yang ditahan memberikan maklumat kepada polis. Setakat ini, polis percaya, pisau itu digunakan untuk membunuh semua mangsa berkenaan” katanya.

Menurutnya, dalam operasi kelmarin, polis Unit Forensik Bukit Aman, Selangor dan Kuala Lumpur melakukan siasatan rapi terhadap lokasi kejadian manakala anggota polis dari Jabatan Kimia Bukit Aman melakukan pemeriksaan di kawasan Sungai Panchau di sini.

Difahamkan polis turut menemui sisa pembakaran antaranya tulang dan tisu tubuh yang boleh dikaitkan dengan identiti mangsa yang hilang.

Sementara itu, pasukan penyelam polis meneruskan usaha menyelam di dasar Sungai Kanchong Laut, Kampung Endah bagi mencari objek yang boleh dikaitkan dengan kes pembunuhan berkenaan, semalam.

Dalam sidang akhbar kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin memberitahu empat mangsa berkenaan dipercayai diseksa, dibelasah, selain ditikam menggunakan senjata tajam oleh sekumpulan penjenayah hingga mati berlumuran darah.

Penjenayah yang seolah-olah tidak mempunyai belas kasihan mencurahkan petrol sebelum membakar mayat mangsa sehingga menjadi abu bertujuan menghilangkan bukti jenayah.

Penjenayah kemudian mengutip cebisan dan abu mayat semua mangsa yang dimasukkan ke dalam guni atau bekas tertentu sebelum dibuang ke Sungai Panchau, di sini, kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dibunuh.

Susulan kes itu, polis memberkas lapan suspek termasuk dua wanita antara Jumaat hingga Ahad lalu membabitkan suspek berusia 19 hingga 45 tahun.-metro
Related Posts with Thumbnails