Sabtu, 18 September 2010

Mukhriz: Pembangkang yang burukkan FDI

Tindakan pembangkang yang sering memburuk-burukkan nama negara menyebabkan ramai pelabur asing takut untuk datang ke Malaysia, dan ia mengakibatkan pelaburan langsung asing (FDI) merosot sehingga 81 peratus bagi tahun 2008 dan 2009, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata walaupun tindakan pembangkang itu ditujukan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi pihak luar akan melihatnya sebagai keburukan negara.

Beliau berkata kesannya ia menjejaskan minat pelabur-pelabur untuk datang ke Malaysia dan apabila ia berlaku, pembangkang kemudiannya akan menyalahkan kerajaan yang mereka dakwa tidak cekap.

"Sedangkan masalah itu mereka yang usahakan dan kemudian dia tuduh kerajaan yang salah. Bagaimanapun, kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik untuk menarik ketibaan pelabur luar ke dalam negara," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis rumah terbuka Ketua Pemuda Umno Bahagian Pendang Akrom Abdul Hamid di Pendang hari ini.

Katanya kerajaan melakukan beberapa tindakan untuk mengatasi masalah itu dan ia memperlihatkan hasil yang positif tahun ini selepas melalui tempoh yang agak teruk tahun lepas.

"Pada 2009, jumlah keseluruhan FDI adalah RM5.66 bilion tetapi tiga bulan pertama tahun ini negara sudah menerima FDI RM5.6 bilion, satu jumlah yang hampir dengan pelaburan sepanjang tahun lepas," katanya.

Sementara itu Mukhriz berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan kaum dalam negara perlu sensitif dalam mengutarakan pandangan atau cadangan untuk kepentingan kaum mereka bagi mengelak daripada menyentuh kepentingan kaum-kaum lain.

"Teguran atau cadangan boleh diberikan tetapi ia perlu dibuat dengan keikhlasan. Kalau nak beri cadangan jangan sampai ia menjejaskan kaum-kaum lain kerana ia boleh menyebabkan masalah lain," katanya.

--Bernama
Related Posts with Thumbnails