
Beliau berkata, idea atau cadangan itu tidak masuk akal dan menghina generasi muda khususnya wanita.
"Saya tidak menolak bahawa remaja-remaja ini harus diberi peluang kedua tetapi dalam bentuk pencegahan dan bukannya satu bentuk habuan yang akhirnya akan mengakibatkan ia menjadi semakin sukar dibendung.
"Kita mahukan satu generasi yang lebih baik kerana mereka merupakan generasi yang akan mewarisi masa depan, namun dengan keluarnya idea dan pendekatan ini saya merasakan ia sesuatu yang cukup dikesali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, ia bukan memikirkan mahu menghabiskan wang rakyat untuk sesuatu yang tidak langsung membantu.
Menurutnya, jika benar kerajaan mahu membantu generasi ini maka pencegahan dan peranan institusi agama itu harus diperhebatkan bukan berdiam diri dan akhirnya ia tidak membawa apa-apa. Membina bangunan bertingkat dan juga prasarana seperti itu bukan jawapan yang tepat.
"Sudah berapa banyak rumah-rumah perlindungan diwujudkan dan badan-badan khas seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan untuk menangani masalah ini namun masih menemui jalan buntu.
"Jadi saya rasakan bahawa pembinaan sekolah hamil bukan jawapannya melainkan gerak kerja dan tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh kerajaan sendiri," katanya.