Rabu, 4 Ogos 2010

FRIM cipta tongkat Ali superpower


AKAR tongkat Ali yang diproses oleh FRIM menggunakan teknologi terkini menghasilkan kandungan bioaktif tiga kali ganda berbanding tongkat Ali biasa. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Berita baik bagi penggemar tongkat Ali apabila teknologi masa kini mampu menghasilkan kandungan bioaktif tiga kali ganda lebih tinggi berbanding akar tongkat Ali semula jadi.

Lebih menarik, kandungan bioaktif itu mampu dihasilkan dalam tempoh enam bulan berbanding tujuh hingga lapan tahun jika menunggu akar tersebut tumbuh seperti biasa.

Kandungan bioaktif itu terhasil menerusi kajian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menggunakan teknik bioreaktor.

Bagaimanapun nama kandungan bioaktif itu tidak boleh didedahkan kepada umum kerana masih dalam kajian.

Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abd. Latif Mohmod berkata, bahan bioaktif itu diperoleh daripada akar rerambut tongkat Ali yang dihasilkan di dalam makmal menerusi bioreaktor berkenaan.

Beliau berkata, melalui proses tersebut, tisu tongkat Ali akan dimasukkan ke dalam alat bioreaktor dan diberikan nutrien tertentu dan suhu persekitarannya dikawal.

"Melalui kaedah tersebut, ia bukan sahaja menyebabkan jumlah tisu tongkat Ali bertambah malah meningkatkan komponen bioaktif di dalamnya sebanyak tiga kali ganda,'' katanya kepada Kosmo!
Related Posts with Thumbnails