Khamis, 12 Ogos 2010

MP DAP Tony Pua terima peluru M-16, nota ugutan

http://media.themalaysianinsider.com/images/uploads/2010/08/12/puabullet.jpg

Peluru yang dihantar ke pusat khidmat Pua digambarkan dengan sekeping duit syilling. — Gambar ehsan Lim Lip Eng

PETALING JAYA, 12 Ogos — Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua menerima peluru M-16 dengan nota ugutan mati, yang dihantar dari Tangkak, Johor semalam.

Peluru itu dan sekeping nota diposkan ke pusat khidmat Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu di Damansara Utama.

“Tony Pua Kiam Wee. Anda sangat berani sekarang? Lebih baik anda berhati-hati,” kata nota itu.

“Kami tahu tentang keluarga kamu, rumah kamu, pejabat kamu, kereta kamu,” tambah nota itu.

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat di balai polis Damansara semalam oleh salah seorang pembantu Pua.

“Kenyataan kedua-dua kami telah diambil (oleh polis),” kata Pua lagi,

Sampul surat yang mempunyai peluru dan nota itu dibuka oleh pembantunya kira-kira 4.30 petang.

Pua tidak menolak kemungkinan ugutan itu berkaitan dengan cadangannya kepada kerajaan negeri Selangor agar mengkaji semula diskaun Bumiputera untuk memiliki rumah-rumah mewah dan hartanah komersial di negeri itu, meningkatkan daya saing dan mengembalikan keyakinan pelabur.

“Ia kemungkinan berkaitan dengan isu yang saya bangkitkan itu,” jelas beliau.

Cadangan itu telah mengundang 22 laporan polis, antaranya oleh Pemuda Umno Selangor.

Pada 2008, dua pemimpin DAP Karpal Singh dan Teresa Kok juga menerima nota ugutan seumpama itu.

Karpal, yang juga Pengerusi DAP Kebangsaan menerima peluru hidup 9mm manakala Kok, Exco Kerajaan Negeri Selangor dibaling dengan bom petrol ke atas rumahnya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamad mengesahkan telah menerima laporan polis berkenaan kejadian itu dan pihaknya sedang menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
Related Posts with Thumbnails