Ahad, 11 Julai 2010

Khir Toyo: Hentikan Aktiviti Mengorek Pasir Di Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor digesa menghentikan sebarang aktiviti mengorek pasir di tanah miliknya kerana dikhuatiri akan menjejaskan alam sekitar serta struktur tanah pada masa akan datang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, berkata Selangor bakal menjadi "negeri berlubang" sekiranya aktiviti melombong pasir di tanah milik kerajaan negeri tidak dihentikan segera.

"Saya dapat tahu ada tanah milik kerajaan negeri dirobek dan dikorek sesuka hati sehingga meninggalkan lubang dan kolam yang besar. Terdapat pasir dikorek hingga 26.6 meter dalam.

"Ini boleh memberi implikasi buruk kepada pembangunan negeri pada masa depan, terutama untuk aktiviti perumahan baru dan kawasan pertanian. Malah, untuk menimbus kembali lombong pasir itu memerlukan kos lebih tinggi daripada aktiviti mengorek pasir," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Dr Mohamad Khir berkata, kerajaan negeri terdahulu (Barisan Nasional) hanya membenarkan aktiviti perlombongan pasir di tanah persendirian selain perlu mendapatkan kelulusan daripada 12 jabatan berkaitan bagi tujuan melakukan aktiviti itu.

Sehubungan itu, beliau mahu anak syarikat kerajaan negeri yang bertanggungjawab dalam perniagaan pasir, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) ditutup operasinya dan kuasa pengendalian galian dan mineral termasuk pasir di Selangor dikembalikan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Katanya, ini kerana KSSB gagal meningkatkan pendapatan negeri dalam perlombongan pasir.
Sementara itu, tinjauan ke satu kawasan lombong di Kampung Bukit Changgang, Dengkil mendapati 20 hektar daripada kawasan lombong seluas 120 hektar itu sudah dikorek sedalam kira-kira 26.6 meter, hanya dalam tempoh dua minggu.

Lombong itu terletak hanya kira-kira 16.6 meter dari kawasan rekreasi Paya Indah Wetlands.

Seorang penduduk kampung itu, Bahaman Ahmad Jiman, 39, berkata penduduk menyedari aktiviti perlombongan di situ sejak dua minggu lalu.

Katanya, bilangan lori keluar masuk dari kawasan itu mencecah lebih 20 setiap hari.

~BERNAMA
Related Posts with Thumbnails