Isnin, 12 Julai 2010

Jangkitan di Lubuk Yu bukan wabak - Tiong Lai

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan mengesahkan kes enam kematian akibat jangkitan bakteria di Hutan Lipur Lubuk Yu, Pahang bukan satu wabak baru dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kematian enam mangsa tersebut disahkan berpunca daripada jangkitan bakteria punca penyakit melioidosis dan leptospirosis yang boleh dirawat dengan mudah menggunakan antibiotik.

"Orang ramai tidak perlu bimbang kerana ini bukan wabak dan jangkitan bakteria itu boleh dirawat menggunakan antibiotik berbanding jangkitan virus seperti influenza A (H1N1) yang lebih sukar dirawat.

"Namun, penduduk berhampiran kawasan itu dinasihatkan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika menghidap gejala seperti demam panas.

"Pasukan bantuan juga dihantar ke klinik-klinik desa di sekitar kawasan berkenaan untuk memantau dan membantu tetapi yang paling penting orang ramai mendapatkan rawatan segera jika terdapat gejala jangkitan," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan seminar gabungan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di sini hari ini.

Enam mangsa yang meninggal dunia antara 3 hingga 8 Julai lalu merupakan sebahagian daripada 83 orang sukarelawan yang menyertai operasi menyelamat mangsa lemas di Hutan Lipur Lubuk Yu pada penghujung Jun lalu.

Lima daripadanya disahkan meninggal dunia akibat jangkitan bakteria Burkholderia pseudomallei (Melioidosis) yang biasanya terdapat di dalam air dan tanah.

Seorang lagi mangsa yang maut telah dijangkiti bakteria jenis leptospira (leptospirosis) yang jarang menjangkiti manusia tetapi mudah disebarkan melalui air kencing haiwan seperti tikus.

Ekoran itu, pusat perkelahan yang terkenal di Maran itu telah diarahkan tutup oleh Kementerian Kesihatan serta merta semalam.

Dalam pada itu, Tiong Lai mengingatkan orang ramai bahawa jangkitan kedua-dua jenis bakteria itu boleh membawa maut jika lewat menerima rawatan.

~Utusan

Related Posts with Thumbnails