Rabu, 2 Jun 2010
Kenyataan Tan Sri Harussani Zakaria: Media Dan Judi Umno
Media pada masa kini harus menjalankan tugas membaiki, membetulkan dan membawa mesej keluhuran Islam dengan memperkayakan bahan yang baik dan bukannya picisan seperti berbaur fitnah ataupun lucah untuk disebarkan kepada masyarakat.
Mufti, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, satu resolusi diusulkan untuk memastikan media bijaksana dalam menyampaikan berita secara tepat berlandaskan fakta yang benar kepada masyarakat.
Menurutnya, resolusi itu akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Menteri Kabinet dan Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi sama ada ia sesuai untuk dipraktikkan oleh media di negara ini.
“Resolusi itu tidak lengkap jika tidak disampaikan kepada Majlis Raja-Raja kerana mereka yang bakal membuat keputusan sama ada kerajaan akan melaksanakannya ataupun sebaliknya,” katanya pada sidang media di Crystal Ballroom, Hotel Impiana.
Beliau berkata, kebanyakan media baru seperti ‘bloggers’ banyak mempengaruhi rakyat di negara ini dan mengurangkan minat untuk membaca kisah yang tertulis di media arus perdana.
“Malangnya maklumat yang mendidik dan membangun masyarakat hari ini masih dipersembahkan dalam bentuk konvensional,” katanya.
Di samping itu, beliau berkata, etika media semakin lama diketepikan disebabkan itu kita memilih untuk menghasilkan resolusi ini supaya pengamal media, kerajaan dan masyarakat menggunakan media secara bijaksana.
“Sehubungan itu, kita berharap dengan kewujudan resolusi itu pengamal media dapat berupaya untuk mendidik dan mempengaruhi masyarakat untuk bertindak serta memperjuangkan kebenaran menentang yang tidak benar,” katanya.
Dalam majlis berkenaan beliau turut memberi reaksi berhubung isu judi yang hebat diperkatakan masa kini. “Judi adalah haram di sini agama, kenapa kita masih mahu menghalalkan sesuatu yang haram?
Bukankah jika menghalalkan yang haram akan membuatkan manusia tergelincir daripada agama,” katanya.
Menurutnya, sebenarnya majoriti masyarakat di Malaysia tanpa mengira agama dan kaum menentang aktiviti judi kerana ia mencerminkan sesuatu yang tidak bermoral.
“Pada hakikatnya, hanya ‘kaki judi’ sahaja yang suka melakukan aktiviti haram itu secara berleluasa untuk kepuasan masing-masing,” katanya.
Harussani berkata, beliau turut terkejut dengan tindakan pelajar sekolah yang sudah mula mengumpul duit untuk bertaruh pada perlawanan bola sepak terbabit.
“Baru-baru ini saya terbaca di surat khabar ada dalam kalangan pelajar yang sudah berjinak-jinak untuk terbabit dalam kegiatan tidak sihat itu,” katanya.
Justeru, beliau meminta supaya jangan membangunkan negeri menggunakan wang haram jika tetap melaksanakannya nescaya banyak benda buruk akan melanda pada masa akan datang.
Labels:
Kenyataan Akhbar