Isnin, 31 Mei 2010

Tanah Kampung Baru Hanya Untuk Melayu


KUALA LUMPUR - "Jangankan 40 peratus, seinci tanah Kampung Baru pun akan kami pertahankan daripada statusnya diberi kepada bukan Melayu."

Demikian tegas sebilangan besar anak jati kampung tradisional Melayu itu yang terletak di tengah-tengah kota metropolitan Kuala Lumpur ketika ditanya mengenai cadangan supaya 40 peratus pemilikan hartanah kampung tersebut dijual kepada golongan bukan Melayu.

Mereka berpendapat, biar pun cadangan itu bertujuan untuk pembangunan dan pemodenan namun, bagi mereka, Kampung Baru merupakan satu-satunya rizab Melayu yang tidak wajar dikorbankan.

Ahmad Sabir Mukisan, 34, yang terkejut dengan cadangan itu berkata, ia satu-satunya tanah rizab Melayu di ibu negara yang tidak wajar diganggu.

"Kalau tanah ini mahu diusik, mana lagi orang Melayu hendak pergi," katanya yang lebih 30 tahun menetap di situ.

Rakannya, Mohd. Fazli Talib, 42, yang memiliki sebuah bengkel motosikal pula menegaskan, cadangan itu seolah-olah isyarat untuk mengusir penduduk keluar dari kawasan itu secara perlahan-lahan.

"Mula-mula hanya 40 peratus tetapi perlahan-lahan pemilikannya akan berkembang tanpa sesiapa menyedarinya dan akhirnya mereka akan menjadi majoriti," katanya.

Abdul Ghani Mohd. Noor, 46, berkata, cadangan itu bagai dijangka kerana banyak pihak tidak sabar untuk menukar wajah Kampung Baru menjadi kawasan pembangunan moden.

~Kosmo

Related Posts with Thumbnails