Dari Malaysian Insider
Oleh Shen Yee Aun
Perdana Menteri Malaysia keenam Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Razak telah melaungkan dan memperkenalkan konsep 1 Malaysia dari hari pertama beliau berkuasa sehingga hari ini. Laungan ini terus diulangi di mana-mana sahaja. Semasa saya mewakili Universiti Malaya untuk Debat Perpaduan 2009 yang berlangsung di Unimas, Sarawak pada 19 hingga 23 May 2009 dan berjaya menembusi peringkat akhir Debat Perpaduan 2009 dan pada ketika itulah saya mengenali konsep 1 Malaysia dengan lebih luas dan terperinci. Hal ini disebabkan saya terpaksa bertungkus lumus mencari dan menganalisis fakta. Lebih-lebih lagi terdapat banyak usul yang berkaitan dengan konsep 1 Malaysia.
Dalam konsep ini terdapat tiga teras utama yang ditekankan oleh Najib iaitu Penerimaan, Kenegeraan dan Keadilan Sosial. Ketiga-tiga teras ini pula akan diperkukuhkan dengan tujuh nilai yang diperkenalkan.
- Nilai 1: Budaya Cemerlang
- Nilai 2: Ketabahan
- Nilai 3: Rendah Hati
- Nilai 4: Penerimaan
- Nilai 5: Integriti
- Nilai 6: Kesetian
- Nilai 7: Meritokrasi
- Nilai 8: Pendidikan
Teras 1: Penerimaan
Persoalannya kini bagaimana Najib boleh memperkenalkan konsep yang bercanggah dengan perjuangan dan perlaksanaannya? Beliau mahu mengubah asas perhubungan kaum di Malaysia dari konsep toleransi kepada konsep penerimaan. Namun begitu bagaimana konsep ini hendak dicapai sekirannya dasar pecah dan perintah halus Najib terus memecahkanbelahkan masyarakat berbilang bangsa di negara kita? Barisan Nasional sering melaungkan dasar dan idelogi politik mereka adalah sistem politik perkongsian kuasa namun sebenarnya sistem tersebut adalah sistem politik dasar pecah dan perintah dimana ada parti-parti tertentu khas untuk memperjuangkan nasib dan hak kaum masing-masing. Biasanya kita hanya mengenali dasar pecah dan perintah ekonomi British dimana dikatakan Melayu di kampung sebagai petani, Cina di bandar sebagai pedagang dan India di estet sebagai penoreh getah. Oleh itu, apakah bezanya kalau parti Umno untuk Melayu , parti MCA untuk Cina dan parti India untuk MIC? Dasar pecah dan perintah bukan sahaja boleh wujud dalam sistem ekonomi tetapi juga dalam politik.
Teras 2: Kenegaraan
Pada 28 April 2009 Najib mengingatkan mana-mana pihak agar jangan terlalu taksub terhadap tuntutan hak dan melupakan tanggungjawab mereka sebagai warganegara kerana kewarganegaraan bukan sahaja menggariskan hak tetapi juga menuntut tanggungjawab serta di bawah konsep 1 Malaysia, tiada rakyat yang terpinggir daripada mendapat perhatian kerajaan.
Pertama siapakah golongan kaum yang dikatakan terlalu taksub menuntut hak mereka dalam pemikiran Najib? Namun tanpa perlu hurai lebih lanjut kita masing-masing sudah sedia maklum tahu kaum manakah yang dimaksudkan Najib. Jawapannya kepada Najib pula kalau seseorang itu diberikan makanan yang secukup dan sebaiknya dan sudah kenyang adakah orang tersebut akan meminta makanan lagi sedangkan perut sudah kenyang? Berbanding pula dengan orang yang perut mereka lapar sehingga perlu taksub meminta makanan.
Keadaan tersebut menandakan keadaan kaum tertentu yang hak mereka tidak lagi dipenuhi. Jangan hanya sebut tanggungjawab rakyat tetapi tanggungjawab kerajaan dan Perdana Menteri juga penting. Jangan hanya tahu suruh orang tidak menuntut tetapi sendiri tidak juga cuba sedaya upaya memenuhi segala keperluan yang diperlukan rakyat. Bunyi tiada rakyat yang terpinggir daripada mendapat perhatian kerajaan cukup kelakar kerana rakyat di negeri Pakatan Rakyat sudi atau tidak kerajaan bantu? Kita mengkaji rentetan isu dan peristiwa yang berlaku antara Selangor, Kelantan, Perak, Pulau Pinang dan Kedah dengan kerajaan persekutuan sudah boleh menilai sejauh mana kenyataan Najib retorik atau tidak.
Teras 3: Keadilan Sosial
Keadilan sosial rakyat atau keadilan sosial Umno? Kita lihat setelah 52 tahun negara kita merdeka namun segala dasar dan pembahagian yang retoriknya untuk rakyat tetapi akhirnya kroni dan ahli sendiri yang menikmatinya. Kalau benar di bumi bertuah ini ada keadilan sosial rakyat mengapa ramai graduan bijaksana semua berkhidmat di luar negara? Mereka mungkin dituduh tidak setia kepada negara tetapi adakah pemerintah adil kepada mereka?
Bagaimana keadilan sosial rakyat boleh tercapai sekirannya Najib terus memanipulasi hak yang ada pada kaum Melayu untuk terus menindakkan peluang dan hak kaum lain? Tidak pernah kaum lain mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu tetapi Umno sendiri yang selalu mengaburi mata rakyat dengan konsep ketuanan dan keistimewaan Melayu sehingga dipertikaikan tindakan mereka. Pertikaikan kaum lain terhadap tindakan Umno sangat berbeza dengan pertikaian terhadap hak dan keistimewaan Melayu. Kalau benar Umno benar-benar telus mempertahankan dan memperjuangkan keistimewaan orang Melayu mengapa pula ramai orang Melayu yang menentang Umno, ramai Melayu sendiri yang memangkah Umno dalam pilihan raya dan bilangan kaum Melayu dalam Pakatan Rakyat semakin hari semakin bertambah. Hal ini disebabkan perjuangan hak keistimewaan Melayu hanya sekadar laungan retorik dan manipulasi serta eksploitasi yang dilakukan oleh Umno. Mungkin benar ketuanan dan keistimewaan Melayu diperjuangkan tetapi bukan Melayu rakyat dan sebenarnya adalah Melayu Umno dan Najib.
Nilai 1 — Budaya Cemerlang
Bagaimana seorang penculik dan perompak negara boleh mewujudkan budaya yang cemerlang sedangkan segala tindakannya sudah memaparkan budaya sesat? Kita lihat bagaimana wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat diculik oleh seorang pemimpin negara dan kita juga lihat bagaimana seorang pemimpin negara merompak hak, undi dan demorkrasi rakyat di negara Perak. Adakah perbuatan ini menandakan satu budaya yang cemerlang atau sebaliknya? Kalian tepuklah dada dan tanyalah selera.
Bagaimana budaya yang cemerlang mampu diwujudkan apatah lagi dicetuskan apabila seorang Speaker dewan ditarik keluar menggunakan kuasa polis yang sudah menodai kemuliaan sesebuah dewan tersebut? Bagaimana budaya cemerlang mampu diwujudkan apabila perlembagaan negara terus diperkosa demi memuaskan hati dan nafsu seorang pemimpin dalam rampasan kuasa yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara dalam zaman pemerintahan kelima-lima Perdana Menteri negara?
Bagaimana budaya cemerlang mampu diwujudkan apabila Cina di China terus disembah tetapi Cina di Malaysia bagaimana pula? Bak kata pepatah Melayu hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri dan lebih baik di negara sendiri. Namun tindakan dan perjuangan pemimpin negara tidak berlandaskan kepada pepatah Melayu ini. Sepatutnya Cina China yang emas dilayan seperti batu tetapi Cina Malaysia batu dilayan seperti emas.
Bagaimana kita hendak mewujudkan budaya cemerlang sedangkan negara demokrasi yang bertunjangkan kepada hak kebebasan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu digantikan dengan pemerintahan ala komunis? Chin Peng komunis ditentang sekuat hati tetapi tindakan komunis yang menyekat hak kebebasan berhimpun, berparti dan bersuara disekat. Rakyat demi rakyat ditangkap seperti Ang San Su Kyi yang ditahan bawah pemerintahan Junta Tentera. Adakah di Malaysia pula pemerintahan Najib tentera hendak terus diamalkan?
Kalau kesemua persoalan di atas menandakan budaya yang cemerlang maka Malaysia akan cemerlang, gemilang, terbilang dan tidak terbilang.
Nilai 2 — Ketabahan
Barisan Nasional tidak belajar daripada sejarah. Bencana tsunami politik Mac 2008 tidak mampu membangkitkan mereka daripada tidur lena dan alpa mereka. Adakah mereka tabah menghadapi dugaan rakyat? Adakah mereka tabah menerima hakikat perubahan dan transformasi politik yang pertama kali berlaku dalam sejarah tanah air negara? Atau sebenarnya mereka masih terus leka dan lalai dalam mimpi indah mereka?
Adakah seseorang pemimpin negara tabah menunggu proses peralihan kuasa atau sebenarnya tidak sabar-sabar hendak berkuasa sehingga meja bekas Perdana Menteri Umno ada juga benda-benda jampi? Apakah maksud jampi tersebut dan siapakah yang melakukannya? Mungkin hanya Tuhan yang tahu.
Adakah pemimpin Umno tabah menerima kelemahan bekas Perdana Menteri Malaysia kelima dan sanggup terus berjuang bersamanya sehingga agenda rakyat dipenuhi dan luka Barisan Nasional diubati? Jawapannya tidak kerana ramai pemimpin yang sudah menunjukkan belang mereka meminta dan menyuruh Pak Lah kesayangannya negara meletak jawatan dan mempercepat proses peralihan kuasa. Sedangkan apabila Pak Lah baharu memegang kuasa suatu ketika dahulu disembah dan dijilat namun pada ketika Pak Lah paling lemah disebabkan kelemahan pemimpin bawahannya belang-belang sudah mula timbul untuk meludah dan memaksa Pak Lah ke jalan buntu dalam karier politiknya.
Adakah Samy Vellu tabah mengharungi perubahan yang melanda negara? Adakah Samy Vellu belajar daripada perubahan undi mendadak kaum India terhadap Pakatan Rakyat dan termasuk PAS berbanding MIC? Jawapanya tidak. Kita lihat bagaimana seorang demi seorang dilucutkan jawatannya apabila mereka bangkit hendak menentang Uncle Sam dalam merebut kerusi Presiden MIC. Siapa yang memecahkan masyarakat India daripada dahulu MIC kepada wujudnya IPF? Siapa yang memecahkan masyarakat India yang dahulunya sebelum merdeka hanya satu kepada puak A dan puak B apabila Subramaniam terus dipinggirkan walaupun layak demi memenuhi kepentingan peribadi dan politik seorang individu?
PPP tidak tabah menerima hakikat parti mereka semakin lemah. PPP tidak belajar bagaimana pepecahan dalam parti yang akhinrya mengundang kepada kekalahan seorang Presiden parti di Taiping. Mereka jauh lebih ekstrem apabila wujudnya PPP A dan B yang kedua-dua pihak mendakwa mereka merupakan parti PPP yang sah. Pergolakan kuasa dalam PPP baru-baru ini bagaikan gambar Hindustan yang mungkin akan mendapat lebih banyak anugerah daripada “Slumdog Millionaire” yang mendapat lapan anugerah antarabangsa.
Gerakan juga tidak tabah menghadapi dugaan yang menimba mereka. Mereka telah cedera dengan parah dan ada juga ramai penganalisis politik berpendapat mereka tidak mampu bangkit menawan Pulau Pinang selama-lamanya. Namun ahli mereka terus dimaki dan ditekan apabila bersuara memperjuangkan sesuatu isu yang melanda negara.
Kita juga lihat bagaimana MCA yang terus berdrama seperti wayang TVB Hong Kong antara Presiden dan Timbalan Parti yang tidak ada pengakhiran sehingga hari ini. Kita lihat bagaimana seorang Presiden parti cuba sedaya upaya menjatuhkan Edison Chen Johor Malaysia berbanding memulihkan kembali undi dan kepercayaan kaum Cina yang semakin hari semakin luntur dan pudar.
Tidak apa. Kita anggap sahaja kesemua tindakan Barisan Nasional ini sebagai bentuk nilai ketabahan mereka dalam mengharungi transformasi politik yang melanda negara. Teruskan.
Nilai 3 — Rendah Hati
Bagaimana Umno yang sombong boleh mencadangkan satu nilai yang tidak mungkin diamalkan oleh mereka? Kita lihat bagaimana seorang sepupu Perdana Menteri yang menghunus keris kepada kaum bukan Melayu supaya tidak mencabar kewibawaan Melayu? Persoalannya kini adakah keris itu satu mesej supaya jangan cabar Melayu atau jangan cabar Umno dan dirinya sendiri?
Kita juga lihat laungan perkongsian kuasa retorik Umno selama ini yang tidak penah memberi sebarang tempat kepada parti lain memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri Negara. Perkongsian kuasa apa yang dilaungkan oleh mereka?
Ketua Menteri Melaka dengan suara lantang menyeru PPP keluar daripada perkongsian kuasa Barisan Nasional dan juga kenyataan Tuhan juga tidak mampu tengelamkan Umno. Kelakarnya tidak lama kemudian tidak perlu kuasa Tuhan pun dengan kuasa rakyat Umno hampir nyawa-nyawa ikan dalam pilihan raya lepas.
Rendah hati tidak bermaksud wayang yang dilakonkan oleh seorang pemimpin turun ke padang ke tempat awam dan seterusnya surat khabar memaparkan segala kejadian tersebut.
Nilai 4 — Penerimaan
Adakah Umno sedia menerima demokrasi rakyat yang mahukan perubahan politik apabila rakyat di Perak dicantas demokrasi mereka? Adakah Umno sanggup menerima hakikat di sebuah negara demokrasi rakyat bebas bersuara dan berhimpun secara aman apabila mereka terus melakukan penangkapan dan penahanan?
Bagaimana Umno hendak menerapkan nilai penerimaan sekirannya suara dan undi ahli Umno sendiri tidak dilayan apabila perwakilan memilih Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda mereka namun individu yang kalah pula yang dipilih menjadi menteri.
Setahu saya Umno hanya menerima hakikat rakyat sudah tidak mahukan mereka lagi. Oleh sebab itu, mereka tidak berani bertanding di pilihan raya kecil Penanti. Mereka sudah menerima hakikat kekalahan mereka sebelum bertanding.
Nilai 5 — Integriti
Integriti apa sekiannya polis terus menyalahgunakan kuasa mereka yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat dan negara melakukan tindakan yang tidak menghormati Dewan Undangan Perak? Kita lihat bagaimana kematian boleh berlaku di penjara negara tercinta sendiri.
Kita juga lihat indeks rasuah Malaysia yang semakin hari semakin teruk. Apakah rasuah itu lambang integriti? Kita lihat bagaimana Umno sendiri mempertikaian perlantikan Menteri Besar Terengganu dan adakah tindakan ini berintegriti kepada instutisi beraja? Lihat juga bagaimana mereka cuba mengherat institusi beraja ke kancah politik di Perak dan mempolitikkan isu Kesultanan Perak.
Adakah seorang pemimpin Umno setelah 52 tahun negara merdeka berkata Cina adalah penumpang di negara ini merupakan satu tindakan yang berintegriti?
Cina dan India adalah penumpang tetapi itu adalah Cina dan India dahulu. Dahulu sebelum perkongsian kuasa wujud. Dahulu sebelum kontrak sosial wujud. Dahulu sebelum perlembagaan negara digubal. Cina dan India kini lahir dan mati di tanah ini juga maka kita bukan sahaja penetap tetap bahkan merupakan rakyat Malaysia yang sah dan tulen seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan dan seperti mana yang diperjuangkan oleh teras 2 Satu Malaysia iaitu kenegaraan.
Nilai 6 — Kesetian
Siapa yang tidak setia dalam isu yang melanda negeri Perak? Siapa yang menjadi punca kepada rakyat mempertikaikan tindakan Raja? Sebenarnya tindakan rakyat bukan menentang Raja tetapi menentang tindakan Umno yang mengherat Raja ke kancah politik.
Mereka tidak setia pada perlembagaan. Mereka tidak setia pada rakyat Malaysia berbangsa Melayu , Cina, India, Kadazan, Iban dan kesemuanya. Mereka tidak setia pada demokrasi. Mereka tidak setia pada hak asasi. Mereka tidak setia pada dewan.
Kesetian apa yang hendak mereka wujudkan lagi?
Nilai 7 — Meritrokrasi
Adakah Dasar Ekonomi Baharu yang terus bernyawa di negara kita menandakan keadaan meritrokrasi? Selaku rakyat Malaysia bukan niat saya untuk mempertikaikan dasar yang menguntungkan kaum Melayu tetapi penentangan saya ini kerana dasar tersebut gagal menguntungkan Melayu.
Dasar tersebut hanya dan terus menguntungkan Melayu Umno dan Melayu tidak mampu berdirikari sekirannya mereka masih hendak berpaut pada Dasar Ekonomi Baharu. Ramai Melayu yang bijak-bijak belaka dan untuk terus membantu mereka adalah penghinaan kepada mereka yang mampu bersaing dengan semua kaum dan dunia tanpa sebarang polisi dan dasar untuk membantu mereka.
Saya rasa semua agama percaya kepada konsep pahala dan dosa. Semakin banyak kita berbuat baik maka peluangnya semakin cerah untuk bertapak di syurga. Semakin banyak yang berbuat jahat akan cenderung dihukum ke neraka. Begitu juga dengan sistem demoraksi. Semakin banyak kita berusaha dan bekerja maka semakin banyaklah peluang di depan mata kita.
Melayu kini tidak perlu lagi dasar Umno untuk membantu mereka kerana mereka sudah mampu berjaya dalam mana-mana bidang di negara kita dan ramai individu sudah membuktikkan keadaan ini. Mengapa hendak terus menjajah minda Melayu dengan DEB? Adakah Umno sedar apabila Melayu sedar mereka sudah mampu berdikari tanpa bantuan Umno dan pada ketika itulah riwayat Umno akan berakhir? Adakah disebabkan ini Umno terus ingin menjajah minda dan kehidupan Melayu supaya terus bergantung pada laungan Umno? Adakah tindakan ini demi memajukan Melayu atau meneruskan kelansungan Melayu Umno?
Nilai 8 — Pendidikan
Sistem pendidikan apa yang terus melahirkan golongan Mat Rempit yang akhirnya ditaja sendiri oleh Putera Umno? Sistem pendidikan apakah sekirannya kadar pengganguran dalam kalangan graduan semakin hari semakin bertambah? Sistem pendidikan apakah yang menyebabkan bekas Menteri Pelajaran sendiri tidak menghantar anak beliau sendiri belajar di bawah sistem yang dirangka dan dijaganya sendiri?
Kata Umno mereka adalah pejuang bangsa Melayu. Keris dihunus demi Melayu. Namun keris dihunus dan ditikam juga kewibawaan bahasa Melayu mereka sendiri apabila PPSMI tidak lagi diajar dalam bahasa Kebangsaan.
Kesimpulan
Akhirnya adakah konsep 1 Malaysia adalah 1 Malaysia Rakyat atau sebenarnya 1 Malaysia Najib dan Umno? Kesemua laungan hanya sekadar retorik politi semata-mata kerana perpaduan kaum tiada akan bermasalah sekirannya ahli politik sendiri tidak mempolitikkan isu kaum demi kepentingan politik mereka sendiri. Segala-galanya hanya fantasi semata-mata sekirannya semua tindakan dan kenyataan bercanggah dengan konsep yang diperkenalkan.
Najib menyatakan 1 Malaysia berbeza dan Malaysia Malaysian DAP . Realitinya sememangnya terlalu banyak perbezaan dan perbezaan adalah perbezaan perjuangan dan cerminan realiti negara. DAP tidak pernah lari daripada perjuangan dan tindakan mereka secara konsisten terhadap Malaysia Malaysian dan segala yang terdapat dalam Malaysia Malaysian merupakan cerminan realiti Malaysia. Itulah perbezaanya.