Rabu, 16 Disember 2009

Editor Utusan mogok tulis kolum




Malaysiakini: Pengarang kanan kontroversi Utusan Malaysia hari ini melancarkan mogok menulis kolumnya selepas berdepan dengan tiga aduan polis berhubung artikelnya "kaum India suka kecoh" minggu lalu.

Di ruangan kolumnya 'Cuit', Zaini Hassan dilakarkan dalam keadaan mulut bertampal - sebagai lambang kunci mulut - sementara di paparan komputernya terlekat tulisan "tutup."

Dalam karikatur tersebut, tangan dan kakinya juga terikat.

Kolum itu menyatakan sebab ia ditutup minggu ini dan menggalakkan pembaca menilai sendiri artikel 'Alkisah India di India dan India di Malaysia' 9 Disember lalu dan juga surat pembaca berhubung isu tersebut.

Bagaimanapun tidak jelas sama ada keputusan "mogok menulis" ini tindakan beliau sendiri sebagai membantah aduan-aduan polis tersebut atau akibat tekanan daripada pihak atasan.

Khamis lalu, ketua biro integrasi kaum pergerakan itu MT Padmanathan membuat aduan polis terhadap Zaini di ibu pejabat polis daerah Sentul, Kuala Lumpur.

Artikel tersebut menceritakan betapa kelam-kabutnya kehidupan di India yang dianggap telah mendarah daging dalam kaum tersebut, termasuk India di negara ini.

"India tetap India. Orang India ialah masyarakat yang begitu unik. Jika kita sering tengok wayang Tamil atau Hindi, itulah budaya mereka. Kecoh, kecoh dan kecoh.

"Namun, kita di Malaysia pun ada orang India. Kecohnya pun lebih kurang sama. Mereka ini rata-ratanya terdiri daripada ahli-ahli profesional, peguam dan kini menjadi ahli politik.

"Di Malaysia hanya orang India yang pandai-pandai sahaja yang sering buat bising," artikel tersebut dipetik.

Penulis menceritakan pengalamannya berada di Hyderabad baru-baru ini sebelum mengecam tindakan pemimpin DAP dan juga ahli parlimen Ipoh Barat, N Kulasegaran, yang didakwanya mempertikaikan hak-hak Melayu.

Dua lagi aduan polis dibuat pada 12 dan 13 Disember lalu, masing-masing oleh DAP di Jelapang, Perak dan sekumpulan 15 lelaki India di Kelang, Selangor.

Zaini kini berdepan tindakan saman oleh exco kerajaan Selangor, Teresa Kok berhubung artikelnya 'Azan, Jawi, Jais, UiTM dan ba-alif-ba-ya' yang mengulas isu azan - kontroversi yang menyeret ahli parlimen DAP itu dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), September tahun lalu.
Related Posts with Thumbnails