Isnin, 14 Disember 2009

GEJALA SOSIAL DAN BAGAIMANA MENANGANINYA

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Bauan syurga adalah di tangan para belia.”


Rasulullah s.a.w pada zamannya tidak pernah memandang remaja sebagai seorang ´kanak-kanak´ yang tidak mengerti apa-apa dan tidak berkepentingan di dalam perkembangan yang berkaitan dengan hal ehwal negara. Malah Rasulullah s.a.w sangat prihatin akan pembangunan dan pembinaan sahsiah remaja. Baginda sering bergaul dengan mereka sambil memberikan nasihat yang berguna serta tanggungjawab untuk umat dan negara pada masa depan.


Namun, zaman yang bertukar ganti memperlihatkan kehidupan dan kepentingan seorang remaja dilihat tidak lebih daripada seorang kanak-kanak yang sedang membesar dan masih lagi ´kecil´ untuk mengerti apa-apa hal pun yang berkaitan dengan pentadbiran sesebuah negara.


Remaja kini sering sahaja digambarkan sebagai golongan yang mudah terpengaruh dan senantiasa inginkan kebebasan mengikut perasaan mereka sendiri. Mereka berasakan bahawa mereka sudah bijak untuk menilai baik buruk sesuatu perkara itu tanpa sebarang campur tangan daripada pihak ibu bapa waima sesiapa pun.


Meneliti keadaan sosial golongan remaja kini, pelbagai aspek perlu diteliti mengenai punca sebenar mengapa dan bagaimana terjadinya kebejatan yang semakin menggugat imej remaja itu sendiri. Antara faktor yang mendorong ke arah kerosakan ini adalah persekitaran.


Persekitaran mempengaruhi akhlak individu dalam masyarakat dalam erti kata ia menggalakkan perkembangan aspek tertentu namun pada masa yang sama menghindarkan perkembangan aspek lain. Persekitaran yang mengamalkan pengasingan nilai kerohanian daripada urusan keduniaan dan persekitaran sosial budaya yang bersifat sekular liberal dan materialistik.


Kewujudan pusat-pusat peranginan yang tidak mengikut atau berlawanan dengan budaya Melayu dan agama Islam secara tidak langsung memudaratkan lagi kebejatan sosial di kalangan remaja ini. Percampuran bebas, bercumbuan dan pendedahan aurat yang keterlaluan oleh pelancong-pelancong asing tadi pastinya merupakan suatu perlakuan yang sangat mudah menjadi ikutan para remaja ini.


Budaya hiburan dan ungkapan ´born to be free´ dan ´muda hanya sekali´, sudah sinonim dengan kehidupan remaja kini. Kehidupan hingar-bingar di kota-kota besar kini seakan keperluan asas bagi remaja ini. ´keperluan´ ini pula secara langsungnya, menghidupkan dan menyuburkan lagi kewujudan pusat-pusat hiburan. Malah, akibat daripada ´sokongan padu´ yang ditunjukkan oleh remaja ini merancakkan lagi pusat-pusat hiburan yang berlesen mahupun tanpa lesen ini memanjangkan lagi waktu operasinya sehinggakan ke dinihari.


Selain daripada itu, pemujaan kepada golongan artis oleh golongan remaja kini telah sampai ke tahap yang membimbangkan. Masakan tidak, konsert-konsert bergerak yang dianjurkan seolah-olah telah menjadi satu ´trend´ oleh pelbagai pihak tertentu kini. Malahan ada dikalangkan penganjur melunakkan konsep konsert dengan berselindung di sebalik konsert amal seperti konsert membantu penghidap AIDS, mengisi tabung bantuan Tsunami, gempa bumi, malam anak-anak yatim, malam bersama-sama anak-anak cacat dan seumpamanya. Semua ini dengan alasan kononnya di samping meraih keuntungan besar, mereka dapat beramal dengan mendermakan sebahagian hasil kepada tabung amal tadi.


Masyarakat umumnya dan remaja khasnya boleh dikatakan ketandusan role model yang boleh dijadikan contoh ikutan yang baik (Qudwah Hasanah) sama ada di peringkat individu mahupun di peringkat pucuk kepimpinan. Kita tidak dapat nafikan banyak yang pandai bercakap mengenai kelebihan dan kebaikan cara hidup Islam sebagai suatu cara hidup yang lengkap tetapi berapa ramai yang benar-benar beramal dengannya? Anak-anak muda ini mudah terkeliru dan sering tercari-cari di manakah ´role model´ yang perlu mereka ikuti.


Malangnya, dengan mengambil jalan pintas, remaja ini sering mengambil role model yang sering mereka tatap dan ikuti perkembangan hidupnya. Contoh yang mudah ialah kehidupan para artis tidak kira dalam atau luar negara. Ini kerana mereka sering mendapat liputan meluas dalam media-media massa. Oleh itu tidak hairanlah apabila artis-artis ini mendapat tempat dalam masyarakat manakala peranan golongan yang sepatutnya menjadi role model yang terbaik seperti golongan para ulama dan ilmuwan sering dipinggirkan.


Memang tidak dinafikan bahawa peranan media massa banyak memberikan perkembangan dan maklumat kepada masyarakat terutamanya berkaitan dengan hal ehwal semasa, berita dalam negeri hinggalah kepada berita-berita luar negara. Namun, media massa pada hari ini telah disalahgunakan hingga menyebabkan peranan utamanya sebagai agen pengubah tidak berlaku dengan berkesan sehingga banyak perkara-perkara kebejatan berlaku.


Internet sememangnya telah mengubah pemikiran manusia di seluruh dunia. Termasuk yang sedang diubah adalah pemikiran umat Islam. Mungkin berbanding dengan umat lain, penggunaan internet di kalangan umat Islam masih rendah. Akan tetapi golongan kecil orang Islam yang menggunakan internet sudah tentu tidak terlepas daripada pengaruhnya. Apa yang menyebabkan internet begitu berpengaruh berbanding dengan media yang lain adalah sifatnya yang dapat menerobos sempadan negara. Ia sukar disekat, ditapis dan dihalang tidak seperti media massa lain.


Maka dengan itu, bahan-bahan lucah dengan begitu mudah memasuki negara yang selama ini dapat menghalang kemasukannya. Begitu juga dengan bahan-bahan subversif termasuklah tulisan yang bersifat menentang agama.Ini sangat berbahaya kepada masyarakat terutamanya umat Islam. Setakat ini tidak ada negara yang dapat menghalang kemasukan bahan-bahan ini. Begitu juga Malaysia Selama ini kerajaan dapat membendung kemasukan bahan-bahan yang bersifat subversif tetapi melalui internet, kebebasan bersuara hampir mencapai tahap mutlak.


Selain internet pengaruh media massa seperti televisyen juga merupakan salah satu penyebab berlakunya gejala-gejala sosial. Banyak rancangan-rancangan yang disiarkan di televisyen yang memaparkan adegan-adegan ganas, tahayul dan seks.Ini boleh mendorong masyarakat ke arah berlakunya gejala-gejala yang tidak diingini dan kelakuan yang tidak baik.


Tidak dapat disangkal bahawa media massa dan keterbukaan dalam globalisasi dunia hari ini merupakan antara faktor-faktor penting berlakunya jenayah salah laku remaja secara meluas. Selain daripada media cetak , media elektronik memainkan peranan yang tidak kuran hebatnya dalam mempengaruhi tingkah laku dan sikap anak-anak remaja.


Melalui siaran-siaran radio TV dan tayangan video, para pelajar terdedah kepada gejala yang tidak sihat seperti unsur-unsur ganas dan luar, budaya barat, budaya dadah, tahayul dan seks bebas. Dengan wujudnya suasana sekeliling yang semakin rosak dan iman yang tipis, para remaja mudah terdorong untuk mencuba aksi-aksi ganas dan adegan-adegan yang berahi yang telah mereka tonton melalui TV atau video lucah yang berleluasa di pasaran. Akibatnya mereka terjerumus dengan perhubungan seks bebas, pelacur murahan, homoseksual, lesbian hingga kepada terjadinya sumbang mahram.


Selain itu majalah-majalah berbentuk hiburan juga banyak memberi kesan negatif ke atas kelakuan masyarakat pada hari ini. Banyak majalah yang berada di pasaran hari ini yang memaparkan gambar artis-artis Barat dan memaparkan kelakuan-kelakuan dan gaya hidup mereka yang tidak berpaksikan kepada ajaran agama. Pengaruh budaya Barat ini begitu mudah menyelinap masuk ke dalam kehidupan golongan remaja kita. Kebanyakan golongan remaja, terutamanya orang Melayu sangat mudah terpengaruh dengan budaya ini.


KAEDAH PENYELESAIAN

1. MENGGERAKKAN KOMUNITI

Setiap usaha yang dilakukan dalam apa-apa permasalahan masyarakat tidak akan berjaya jika masyarakat di tempat di mana masalah itu berlaku tidak turut sama menggembleng tenaga. Untuk menggerakkan masyarakat Melayu ataupun komuniti Islam, tempat yang paling sesuai dalam mendapat komitmen mereka ialah di masjid-masjid atau di surau-surau. Kerana di sinilah masyarakat berkumpul pada setiap hari, setidak-tidak pada waktu malam sekiranya mereka sibuk bekerja pada siang harinya. Apabila masjid-masjid dan surau-surau mula membincangkan mengenai cara-cara untuk menangani penyakit masyarakat ini, sudah pastilah Pelan Tindakan yang disusun oleh kerajaan negeri melalui agensi-agensi kerajaan dan jabatan yang berkaitan akan menjadi lebih mudah. Apa yang kita mahukan di sini ialah masjid-masjid dan surau-surau menjadi perantara kepada mesej yang hendak disampaikan oleh kerajaan negeri dalam mengubati penyakit ini serta kaedah rawatan yang perlu diambil dan seterusnya kaedah pencegahannya. Apabila mandat diberikan kepada pihak masjid serta surau dan seterusnya komuniti setempat untuk melaksanakan program ini, sudah pasti masyarakat akan memandang tinggi terhadap institusi masjid serta surau, dan mereka akan melihat hubungan jambatan antara komuniti setempat dengan kerajaan negeri.

Pihak jawatankuasa masjid dan surau hendaklah diberi kefahaman yang sepenuhnya bahawa usaha ini bukannya untuk meraih keuntungan atau sokongan mana-mana pihak, tetapi ianya adalah untuk manfaat masyarakat keseluruhannya. Kaedah ini adalah seperti mana yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w di mana masjid dijadikan tempat untuk menyelesaikan segala permasalahan masyarakat, sumber rujukan, pusat kaunseling dan seterusnya.

2. KEMPEN SOLAT

Sembahyang adalah merupakan tiang agama. Meninggalkan solat bermakna kita merobohkan tiang agama. Apabila tiang agama itu roboh maka tiadalah sudah pegangan hidup. Dalam Al-Quran disebutkan "Solat itu mencegah daripada pekerjaan keji dan mungkar". Penyakit masyarakat dan gejala sosial yang disebutkan tadi adalah merupakan perkara keji dan mungkar. Ini menunjukkan di sini betapa solat bukan hanya membentuk peribadi Islam malah ianya membentuk masyarakat serta komuniti Islam. Betapa beratnya suruhan mengerjakan solat ini hinggakan ianya wajib dilakukan dalam apa jua keadaan sekali pun, selagi hati boleh berdetik, selagi mata boleh berkelip, selagi akal kita masih waras sama ada dalam keadaan berdiri, duduk ataupun terbaring. Rasulullah s.a.w mengajar kita agar menyuruh anak-anak kita mendirikan solat sejak dari usia 7 tahun lagi.

Maka kempen solat hendaklah menjadi agenda utama dalam Pelan Tindakan Bersepadu. Kempen solat dalam apa jua keadaan dan masa, kempen solat di masjid dan surau, kempen solat di gedung-gedung perniagaan, kempen solat di tempat kerja malah kempen solat di pusat-pusat peranginan dan rekreasi serta di stadium-stadium. Tidak ketinggalan juga kempen solat semasa perjalanan terutama di musim perayaan baik dalam kereta api ataupun mereka yang membawa kenderaan sendiri. Sekali lagi untuk melancarkan kempen ini, institusi masjid memainkan peranan yang begitu besar untuk menyedarkan orang ramai.

3. KERJASAMA DENGAN AGENSI KERAJAAN DAN BADAN SUKARELA

Beberapa agensi kerajaan dan badan sukarela telah pun dibentuk sejak sekian lama dalam menangani penyakit masyarakat. Antaranya ialah Agensi Dadah Kebangsaan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Majlis Agama Islam Negeri, Polis Di Raja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan seterusnya. Institusi masjid dan surau haruslah dari masa ke semasa mengadakan kerjasama dengan pihak yang disebutkan tadi dalam menangani penyakit masyarakat.

Dalam menangani masalah ragut, pecah rumah, rogol dan sebagainya jalinan kerjasama dan pertukaran maklumat boleh dilakukan dengan pihak PDRM. Dalam menangani kes lepak, ponteng sekolah, penagihan arak dan sebagainya , kerjasama boleh dilakukan dengan Pihak Berkuasa Tempatan dengan memberi maklumat mengenai pusat-pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen, melebihi had masa, penjualan arak tanpa lesen, pengiklanan arak tanpa permit dan seterusnya. Pihak Berkuasa Tempatan juga boleh memberi penerangan kepada masyarakat setempat mengenai peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh pusat-pusat hiburan, kedai menjual arak, kedai judi dan seterusnya, seperti kewajaran mengadakan kedai-kedai menjual arak serta kedai-kedai judi di kawasan yang majoritinya Islam. Begitu juga dalam menangani masalah penagihan dadah kerjasama antara pihak masjid dan surau boleh diwujudkan dengan Agensi Dadah Kebangsaan.

Jika selama ini masjid dan surau hanya dijadikan tempat penyampaian ceramah atau kuliah agama, mengapa tidak ianya dijadikan tempat menyelesaikan segala permasalahan yang disebutkan tadi selagi ianya menurut apa yang dikehendaki oleh Islam dan tidak melanggar batas-batas syarak.

4. KEMPEN MEMUDAHKAN PERKAHWINAN

Jenayah seksual semakin ketara sekarang ini, malah ianya melibatkan mereka yang berada di bangku sekolah lagi. Islam menyuruh ibu bapa apabila sudah sampai masanya anak-anak mereka berkeinginan untuk berkahwin maka hendaklah ianya disegerakan. Ini adalah untuk menghindari mereka daripada terjebak ke lembah yang hina.

Kemajuan sains dan teknologi dengan dunia tanpa sempadannya menyebabkan anak-anak muda sekarang ini begitu mudah untuk mendapatkan bahan-bahan yang memberahikan nafsu. Apabila pegangan agama semakin luntur dan nafsu dari hari ke sehari semakin memuncak , maka syaitan akan menguasai jiwa mereka. Apabila syaitan sudah menguasai jiwa mereka , dosa-dosa besar sudah menjadi perkara biasa, mulanya hanya naik motor bersama, kemudian tinggal bersama , apabila terlanjur berlakulah pula kes bunuh apabila bayi yang dilahirkan dibuang begitu sahaja tanpa perasaan belas kasihan. Yang demikian itu sifat mereka lebih teruk daripada haiwan. Oleh yang demikian masyarakat haruslah diberi pemahaman, bahawa perkahwinan adalah salah satu cara yang disyorkan oleh Islam untuk menangani penyakit masyarakat sekiranya mereka tidak mampu menahan nafsu mereka dengan berpuasa. Dan perkahwinan ini hendaklah dipermudahkan agar pasangan suami isteri boleh hidup bahagia selepas majlis perkahwinan. Sesuai dengan apa yang diperkatakan, iaitu Islam itu adalah mudah. Sebagai menarik usaha golongan muda-mudi untuk berkahwin beberapa insentif boleh dikemukakan antaranya ialah kemudahan untuk mendapat pekerjaan, kemudahan untuk mendapat rumah kos rendah, sagu hati perkahwinan dan sebagainya.

Pihak masjid, surau serta badan sukarela juga boleh menimbang sekiranya perlu untuk menganjurkan majlis perkahwinan beramai-ramai untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan.

MEMULIHKAN PERANAN INSTITUSI KELUARGA

Kata orang, 'kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Kalau hendak membina insan biarlah sejak ia masih kecil, kerana anak kecil itu dilahirkan suci 'umpama kain yang putih'. Ibu bapanyalah yang menjadinya Yahudi, Nasrani atau Majusi. Sememangnyalah anak-anak mudah dibentuk dan akan mengikut suasana dalam keluarga dan persekitarannya.

Anak-anak adalah amanah Allah Subhanahu Wataala yang perlu diberikan perhatian dan dijaga dengan sebaiknya agar mereka menjadi insan kamil, sempurna, berguna kepada keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara. Pertalian dan hubungan antara anak dan ibu bapa bukan setakat semasa masih hidup di dunia malah sehinggalah ke akhirat, sesuai dengan hadis Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Muslim dan Ahmad bermaksud:

"Apabila anak Adam meninggal dunia, maka putuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariahnya, ilmu yang dapat memberikan manfaat dan anak yang salih yang mendoakan dia."

Ke arah itu kita hendaklah melaksanakan tanggungjawab sewajarnya dengan berusaha mewujudkan keluarga bahagia dan harmoni dengan menekankan ciri-ciri positif dalam mengasuh anak-anak. Ada baiknya kita berkongsi beberapa 'tips' dalam mendidik dan menjaga anak-anak. Antaranya termasuklah memberikan didikan Islam dalam pengertian sebenar bukannya konsep Islam berasingan daripada kehidupan serta penghayatan yang secukupnya, penjagaan dan pengawasan yang sempurna, pendidikan rohani dan jasmani yang sempurna, mewujudkan kehidupan yang berdisiplin, mendengar, memahami dan berkomunikasi secara matang dan berkesan, sentiasa bersedia memberikan bantuan dan bimbingan dalam menyelesaikan masalah mereka, memberikan perhatian sepenuhnya dari segi fizikal, emosi dan mental serta memberikan kasih sayang yang secukupnya.

Selain dari itu kita hendaklah sentiasa memberikan perhatian terhadap tingkah laku mereka, sentiasa berhubung dengan pihak sekolah untuk memantau kemajuan pelajaran dan tingkah laku mereka, sentiasa peka terhadap perasaan mereka, mengenali dan memantau rakan-rakan mereka, tidak terlalu 'mengongkong' sehingga menimbulkan kesan negatif, sentiasa menunjukkan minat apabila mereka mengemukakan dan memberikan pandangan, sentiasa bertolak ansur pada perkara-perkara munasabah, mendidik supaya tidak bercakap bohong dan berahsia dengan ibu bapa dan mencegah mereka dari berpakaian menjolok mata dan kurang sopan.

Ibu bapa perlu mengelakkan perbalahan dan perselisihan antara mereka yang boleh mengakibatkan anak-anak terasa tertekan, memendam rasa dan tidak selesa duduk di rumah. Mereka akan keluar mencari hiburan dan ketenangan yang menjurus kepada pergaulan bebas. Dari sanalah berpuncanya segala masalah yang disebutkan.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya dapatlah kita ambil di sini, iaitu semua pihak bertanggung jawab untuk menangani penyakit masyarakat ini. Dari pemimpin negeri ke rakyat jelata, dari pegawai atasan hingga ke pekerja biasa, dari guru besar ke anak murid dan seterusnya. Tiada siapa patut menuding jari pada pihak yang lain, kerana setiap daripada kita adalah merupakan ahli masyarakat. Karenah birokrasi dan perbezaan fahaman politik dan puak haruslah dielakkan dalam melancarkan Pelan Tindakan Bersepadu ini.
Related Posts with Thumbnails