"Program tersebut tidak perlu dibiayai oleh KWSP. Ini kerana misi KWSP adalah untuk menjamin 11 juta warga kerja Malaysia mempunyai wang hasil titik peluh mereka selepas bersara. Tugas KWSP memaksimumkan pulangan dengan pelaburan yang paling rendah risikonya," kata setiausaha publisiti DAP Tony Pua dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Pua, peranan utama KWSP adalah memastikan jaminan kewangan kepada pekerja selepas mereka bersara.
"Kami menyeru kerajaan untuk mencari sumber dana sendiri untuk program perumahan dan tidak menyalurkan dana KWSP ke skim kebajikan masyarakat," katanya.
Isnin lalu, akhbar The Sun melaporkan bahawa dana KWSP sebanyak RM1.5 bilion akan disalurkan untuk "skim pembiayaan mudah" bagi penjualan rumah-rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).