KUALA LUMPUR: Enam wanita separuh bogel yang asyik menari tiang di sebuah pusat hiburan di Jalan P. Ramlee di sini, terkedu sebaik diserbu pihak berkuasa awal pagi kelmarin.
Kelab malam yang baru dibuka sekitar sebulan lalu itu dilaporkan turut menjamu 'gadis dalam kandang' sebagai daya tarikan kepada pengunjung yang melanggani pusat hiburan tersebut.
Dalam operasi yang dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) sekitar 1.30 pagi itu, enam penari wanita yang ditahan itu adalah warga tempatan.
Pegawai Turus D7 IPKKL, Timbalan Superintenden Azman Mat Isa, berkata konsep tarian tiang semakin menjadi perhatian sehingga membuatkan pemilik premis menyediakan khidmat itu bagi menarik ramai pelanggan.
'Ketika serbuan, semua penari wanita itu hanya memakai coli dan berseluar dalam serta asyik mempamerkan aksi ghairah kepada pengunjung selama 15 minit bagi tiga persembahan berbeza iaitu 10.45 malam, 11.45 malam dan 1.30 pagi,' katanya.
Malah, untuk menambah kehangatan, mereka turut menari dengan ghairah dalam dua kandang besi khas bersebelahan pentas yang merupakan tarikan terbaru kelab berkenaan.
Timbalan Superintenden Azman berkata premis itu tidak memiliki lesen perniagaan yang sah atau permit sebagai pusat hiburan.
'Dalam Ops Noda ini, polis memeriksa seramai 117 pengunjung dan 61 daripada mereka adalah bawah umur.
'Daripada jumlah itu, 25 adalah lelaki serta 36 wanita. Kami dapat mengesan ada di antara mereka yang ditahan itu masih bersekolah, khususnya di tingkatan lima,' katanya.
Kesemua pengunjung bawah umur itu dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk dijamin ibu bapa masing-masing.Kelab tersebut pula akan disaman kerana melakukan pelbagai kesalahan.