Sabtu, 7 Januari 2012

Himpunan Bebas Anwar 901, Umno Melaka Naik Angin?

Mkini | Kira-kira 100 orang yang mewakili beberapa NGO menyerahkan memorandum di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah hari ini sebagai membantah tindakan membenarkan perhimpunan "Bebaskan Anwar 901" diadakan.

Selain Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Melaka, turut menyertai penyerahan tersebut ialah Persatuan Ketua Kampung (Sidang-Sidang) Negeri Melaka, Perguruan Gerak Insan Seni Melaka dan Pertubuhan Kebajikan Sejati Melaka.

Memorandum itu diserah oleh yang dipertua Persatuan Sidang-Sidang Negeri Melaka, Ismail Othman, kepada Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman pada kira-kira jam 10.30 pagi tadi.


Menurut Ismail, walaupun perhimpunan dibenarkan di kawasan berkenaan tetapi pihaknya bimbang sekiranya ia membabitkan kumpulan yang besar, kemungkinan akan menganggu ketenteraman awam di situ.

"Tujuan kita menghantar memorandum ini adalah untuk menyatakan pendirian bahawa perhimpunan "bebaskan Anwar 901" adalah suatu perhimpunan yang sia-sia kerana jelas mengganggu proses mahkmah.

Yang dipertua PERKASA Melaka, Abdul Rahim Osman turut menyarankan rakyat supaya membuat penilaian sewajarnya terhadap tujuan perhimpunan "Bebaskan Anwar 901" diadakan.

"Walaupun mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa iaitu polis namun kita merasakan keselamatan negara lebih penting daripada mempertahankan peribadi seseorang itu," katanya.

Sementara itu, Asisten Komisioner Salehhudin pihaknya menerima memorandum tersebut dan akan menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi polis di Ibu Pejabat Polis, Kuala Lumpur.

"Meskipun pihak polis telah membenarkan perhimpunan itu diadakan, namun saya harap mereka ini dapat patuh kepada peraturan dan syarat yang dibenarkan untuk menjamin ketenteraman awam dan keselamatan dapat dipelihara," katanya.
Related Posts with Thumbnails