Isnin, 16 Mei 2011

Perbicaraan Anwar tiada kredibiliti, sandiwara - LFL


KeadilanDaily | Lawyers For Liberty menganggap perbicaraan kes Fitnah 2 membabitkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan sandiwara semata-mata untuk memenjarakan pemimpin pembangkang itu.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, LFL mengulas keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang memutuskan Anwar perlu membela diri dalam kes tersebut.

“Bagaimana hakim boleh membuat kesimpulan pengadu Saiful Bukhari ada kredibiliti dan saksi yang berwibawa bila dia secara serius memberikan keterangan bercanggah dan bukti yang amat mencurigai malah mempunyai hubungan sulit dengan salah seorang pendakwa kes?,” soalnya.

Menurut LFL, Saiful malah memberi keterangan di mahkamah yang dia berjumpa dengan para pegawai kanan polis dan ahli-ahli politik tertinggi Umno, termasuk Perdana Menteri dan isterinya, sebelum membuat laporan polis terhadap Anwar.

“Apakah itu tidak cukup untuk mewujudkan satu keraguan munasabah mengenai kes itu?,” soalnya lagi.

Menurut LFL, laporan perubatan dari Hospital Kuala Lumpur pada 28 Jun 2008 menunjukkan tidak terdapat kesan penemuan klinikal penembusan di dubur Saiful dan kesan kecederaan atau luka mempertahan kan diri ditemui pada pengadu itu.

“Tetapi hanya di Malaysia, laporan perubatan sebegitu telah diadakan untuk mewujudkan satu keraguan munasabah dan para doktor kemudian memberi keterangan bertentangan dengan laporan perubatan untuk membabitkan Anwar,” tegasnya.

Tambahnya, dari awal kes lagi pendakwa dan hakim sentiasa menghalang usaha pihak peguam mendapatkan dokumen penting termasuk nota perubatan dan dokumen berkaitan laporan kimia dan DNA.

“Bagaimana boleh ini dipanggil satu perbicaraan adil dan bebas?,” ujarnya.

LFL berkata, sistem keadilan jenayah di Malaysia sekali lagi dipergunakan sebagai alat untuk menindas dan menentang politik pembangkang.

“Kes ini menunjukkan contoh jelas ketidakjujuran dan kerjasama antara aparatus negara, kehakiman, polis, peguam negara dan agensi kerajaan seperti Jabatan Kimia dan hospital yang menyalahgunakan pembuktian untuk mensabitkan Anwar dalam apa juga cara,” katanya.

Related Posts with Thumbnails