Jumaat, 20 Mei 2011

Demo Bantah LYNAS: 500 orang berhimpun di depan kedutaan Australia


Keadilan Daily|  Kira-kira 500 orang berhimpun di depan kedutaan Australia bagi membantah projek pembinaan nadir bumi di Gebeng, Kuantan.

Mereka bergerak dari masjid As Syakirin KLCC menuju ke Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat tadi.

Perarakan itu anjuran People’s Green Coalition dengan kerjasama kumpulan menentang projek berkenaan, Save Malaysia, Stop Lynas.

Mereka mengiringi enam wakil menghantar memorandum bantahan berhubung sisa radioaktif yang dihasilkan projek berkenaan .

Peserta perhimpunan turut melaungkan slogan ‘Hancur Lynas, Hidup Rakyat’ ketika tiba di kedutaan itu.

Jurucakap bagi NGO itu Vincent Chiam, berkata, mereka mendesak Lynas menamatkan operasi pembinaan projek nadir bumi itu sebelum 31 Ogos ini, sempena hari kemerdekaan yang jatuh pada tarikh tersebut.

Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang turut hadir menyatakan sokongan ialah Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, Arutchelvam.

Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan dan Naib Ketua AMK, Azmizam Zaman Huri turut menyertai perhimpunan berkenaan.

Sebanyak enam trak polis lengkap dengan water canon dan dua trak dari Pasukan Unit Polis Persekutuan (FRU) turut dilihat berada di kawasan perhimpunan namun tidak ada sebarang tangkapan dilakukan.

Related Posts with Thumbnails