MUNGKIN mustahil bagi saya untuk menjadi terkenal seperti W. Mark Felt, tokoh utama yang membongkar ‘Skandal Watergate’ dengan nama samaran ‘Deep Throat’ kerana beliau telah meninggal dunia pada 18 Disember 2008; namun kanak-kanak Tadika pun boleh berfikir bahawa polis melakukan kesilapan besar dengan menjalankan siasatan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (SSD). Seperti dalam ‘Skandal Watergate’ tiada siapa menyedari lima orang ‘Gurkha Presiden Richard Nixon’ yang menceroboh masuk ke Markas Parti Demokrat di Watergate Washington DC pada 17 Jun 1972, melainkan Felt yang telah membocorkan rahsia berkenaan kepada dua orang wartawan Washington Post iaitu Bob Woodward dan Carl Bernstein. Saya tidak perlu untuk menjadi ‘Deep Throat’ kerana saya menggunakan nama saya sendiri dalam semua tulisan saya, termasuk yang mengancam nyawa saya kerana saya yakin kepada ketentuan takdir Illahi dan maut adalah permainan seorang wartawan. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa Ketua Polis Negara harus mencipta ruang kosong di atas kanvas siasatan bagi dua kes terbesar ini dengan melihat cermin jenayah kerana lazimnya penjenayah sebenar bersembunyi di sebalik bayang atau menggunakan ‘Stunt-In’ dalam setiap aktiviti mereka. Minda bawah sedar saya berfikir, kenapa polis mensasarkan siasatan kepada Pegawai SPRM yang tidak berdosa dan telah benar-benar berbakti untuk membersihkan Negara daripada gejala rasuah, sekalipun ramai di antara mereka menyembunyi tangan kotor kerana turut mengamalkan rasuah. Tetapi dalam kes Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani Mohamed, adalah mustahil bagi Pegawai SPRM menjadi ‘Malaikat Izrail’ untuk mencabut nyawa dua manusia penting ini yang memegang rahsia ‘Don’ atau ‘Mafia’ yang berkolar putih; salah seorang daripadanya menteri dan Ketua Pengarah yang kaya daripada operasi pasir dan penyeludupan. Kedua ‘Wira Negara’ ini mati ketika mereka ingin mendedahkan siapakah dalang sebenar di sebalik petualangan ini, namun sebelum mereka menjadi ‘Harimau’ untuk satu hari yang amat bersejarah dalam hidup mereka, mereka telah dijadikan ‘Kambing Hitam’ yang dikorbankan untuk kepentingan pihak tertentu bagi memutuskan rantaian alibi dan memalitkan nista terhadap pegawai SPRM yang bekerja 24 jam untuk menyelesaikan sesuatu kes, terutama kes yang berprofail tinggi. Mustahil bagi seorang yang ingin berkahwin esok atau seorang pegawai yang sudah insaf dan ingin menghabiskan sisa hidupnya dengan membina masjid dan membuat kebajikan; membuat keputusan untuk mengakhiri hidupnya dengan membunuh diri? Polis harus membuka ‘kotak fikir’ yang terkunci di sebalik pintomin yang dilakonkan penjenayah sebenar yang berselindung di sebalik jawatan, aras politik dan pengaruh wang untuk memesongkan motif kematian daripada jenayah kepada membunuh diri. SPRM telah memacu seluruh tenaga dan kepakaran mereka untuk membongkar kes kuari pasir dan batu haram tanpa mempedulikan keselamatan diri mereka yang sentiasa dibayangi tonto dan ‘Menteri’ yang berpengaruh; namun tiba-tiba dituduh menyebabkan kematian atau ‘membunuh’ saksi yang ingin memberikan keterangan beralibi. Saya langsung tidak berniat untuk mengajar atau mengganggu siasatan polis, namun berdasarkan fakta yang dihujahkan polis dan SPRM secara terbuka dan ditokok tambah oleh pembangkang; apatah lagi kematian Ahmad Sarbini berlaku ketika Sarawak di ambang pilihanraya, maka Ketua Polis Negara sewajarnya mengkaji semula modus operandi dan skop siasatan agar ‘Hollow-Man’ tidak terlepas. Polis sewajarnya memburu penjenayah sebenar iaitu ‘Lanun Pasir’ dan ‘Puaka Penyeludup’ yang selama ini memboroikan perut Pegawai Kastam dan Menteri; bukannya pegawai SPRM yang bekerja secara jujur tanpa mengira masa untuk menyelesaikan sesuatu siasatan sekalipun tindakan yang bakal mereka ambil bergantung kepada budibicara Peguam Negara. Jika ‘Mafia Pasir dan Penyeludupan’ ini boleh ketawa berdekah-dekah kerana berjaya memperdaya polis, sewajarnya penggubal undang-undang di Malaysia yang terdiri daripada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara sewajarnya merasa malu dan meletakkan jawatan kerana kedangkalan mereka menggubal undang-undang sambil lewa menyebabkan penjenayah terlepas tetapi saksi kerajaan menjadi mangsa akibat kelicikan penjenayah menyembunyikan identiti mereka. Ketua Polis Negara dan Peguam Negara harus berfikir di luar minda bawah sedar mereka untuk menyelesaikan isu yang semakin buntu ini dengan mengalihkan perhatian daripada SPRM kepada ‘PHANTOM KILLER’ yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi boleh dirasa melalui deria keenam. Seseorang penjenayah atau pembunuh upahan tidak memerlukan masa yang lama untuk menolak saksi daripada tingkap atau atas bangunan dan boleh mengkakukan CCTV selama beberapa saat dengan hanya menggunakan jarum peniti atau pemetik api sehingga imej mereka tidak kelihatan atau hanya berbayang seperti dalam kes pembunuhan Norjan Khan Bahadar dan Norita Samsuddin; sehingga penjenayah lepas bebas tanpa sebarang hukuman. Penubuhan SSD hanya membazirkan wang rakyat jika penjenayah sebenar semakin menimbun harta dan melebarkan empayar mereka kerana polis terpaksa menggunakan masa 24 jam mereka untuk menepis kutukan; SPRM memulihkan imej mereka dengan menggantung kerja pegawai yang tidak berdosa; serta Peguam Negara kematian akal kerana memerlukan bukti yang melampaui keraguan munasabah sebelum menyediakan kertas pertuduhan. Tindakan tidak bermoral sesetengah pihak mengutuk SPRM semata-mata kerana terpengaruh dengan hasutan pembangkang dilihat sebagai melakukan ‘Jenayah Moral’ kerana mempersenda Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan prinsip seseorang itu tidak bersalah sebelum dijatuhi hukuman bersalah oleh Mahkamah Undang-Undang. Akhir sekali, jangan dibunuh pembawa berita seperti saya yang memberitahu rumah anda sedang terbakar; sebaliknya kawallah api sebelum merebak. Padamlah kemarahan sebelum membakar diri kerana mereka yang gagal mengawal kemarahan umpama ‘Phantom Killer’ yang mengintai peluang untuk membunuh mangsa sedangkan perangkap telah tersedia! |
Oleh: MUTALIB M.D