Jumaat, 15 April 2011

Pendapatan Tahunan CEO Syarikat GLC



Datuk Seri Najib Razak berkata, ketua pegawai eksekutif (CEO) di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) secara keseluruhannya menerima ganjaran dan pendapatan lebih rendah atau setara dengan rakan sejawat mereka di syarikat swasta.
Dalam konteks ini, Perdana Menteri berkata, jumlah ganjaran diperoleh CEO GLC dikira setimpal dengan sasaran diberikan kepada mereka untuk mentransformasi GLC itu menjadi syarikat berprestasi tinggi.
Malah, beliau yang juga Menteri Kewangan memberikan julat pendapatan tahunan beberapa CEO GLC terpilih berbanding rakan sejawat di syarikat swasta dalam industri sama dari 2006 hingga 2009.

“Industri perbankan, julat pendapatan tahunan CEO Maybank Banking Bhd (GLC) antara RM1.4 juta – RM4.9 juta berbanding CEO Public Bank Bhd (bukan GLC) yang menerima antara RM4.7 juta – RM6 juta.

“Industri tenaga/utiliti, julat pendapatan tahunan CEO Tenaga Nasional Bhd ialah RM800,000 – RM1.4 juta berbanding CEO YTL Corporation Bhd (bukan GLC) RM3.6 juta hingga RM10 juta.

“Industri penerbangan, julat pendapatan tahunan CEO Penerbangan Malaysian Bhd (GLC) RM900,000 – RM1.5 juta berbanding CEO Air Asia Bhd (bukan GLC) RM1 juta – RM6 juta.
“Industri automotif, julat pendapatan tahunan CEO Proton Holdings Bhd ialah RM500.000 – RM1 juta berbanding CEO Tan Chong Motor Holdings Bhd (bukan GLC) RM4.5 juta – RM4.95 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan senarai 20 nama pegawai kanan, termasuk Pengerusi dan CEO, dalam GLC yang menerima elaun tahunan tertinggi mengikut gaji serta bonus sejak 2006.

Najib berkata, pakej ganjaran diberikan kepada kakitangan kanan GLC ditetap berdasarkan pengalaman dan kepakaran masing-masing, selain prestasi ditunjukkan.

Katanya, jumlah ganjaran diberi berpandukan garis panduan di bawah Buku Biru – Meningkatkan Prestasi Pengurusan terbitan Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG) yang antara lain menggariskan beberapa perkara bagi membantu GLC menetapkan rangka kerja ganjaran masing-masing.

Beliau berkata, ini termasuk memastikan gaji asas adalah kompetitif dengan pasaran serta mencerminkan prestasi individu.

“Seterusnya, menghubungkan bayaran bonus dan ganjaran lain kepada pencapaian masing-masing, memastikan keseluruhan ganjaran kompetitif dengan pasaran, serta memberikan ganjaran dalam bentuk wang tunai dan/atau saham,” katanya.
Related Posts with Thumbnails